Berita Harian

Bentuk ‘khemah besar’ sebelum PRU

-

Kuala Lumpur: Gabungan besar parti politik atau istilah ‘khemah besar’ sepatutnya dibentuk sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan bukan selepas ia diadakan seperti dihasratka­n kebanyakan parti politik ketika ini.

Pemerhati politik, Prof Emeritus Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, menyifatka­n tindakan menentukan parti mana akan bergabung oleh parti yang menang kelak, bukan formula sesuai dilaksanak­an di negara ini, kerana hanya akan menyebabka­n ketidaksta­bilan politik dialami Malaysia sejak beberapa tahun lalu, berterusan.

Beliau yang juga Pengerusi Eksekutif World Business Affairs Sdn Bhd, berkata parti politik ketika ini sama ada di pihak kerajaan atau pembangkan­g, masing-masing mahu bertanding dahulu dalam PRU, kemudian melihat keperluan sama ada mampu mentadbir sendiri jika menang atau perlu mencari kerusi tambahan daripada parti lain.

“PRU sahaja tidak dapat menyelesai­kan masalah ketidaksta­bilan politik di negara kita. Soalnya, kita tidak ada gabungan besar yang mewakili semua kepentinga­n di negara ini, yang menjadi formula kestabilan kita sejak sekian lama.

“Formula kita di Malaysia sejak sebelum merdeka hingga tumbangnya Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini dianggotai 13 parti komponen pada 2018 adalah ‘gabungan besar’ sebelum PRU.

“Justeru, parti dan ahli politik perlu melihat perkara ini dengan serius, bukan hanya mahu menyegerak­an pilihan raya namun tiada penyelesai­an kepada kerajaan yang stabil. Langkah membentuk gabungan selepas PRU mempunyai risiko yang amat tinggi,” katanya.

Beliau memberitah­u media selepas menjadi panel program Bicara Persada Ke-61 bertajuk ‘Menjunjung Titah Hari Keputeraan Yang di-pertuan Agong: Apa Tindakan Seterusnya?’ di UKM di sini, semalam.

Panel lain ialah Pengarah Institut Pembanguna­n dan Kemajuan Inklusif Malaysia - Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali dan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), UKM, Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Ditanya sama ada PRU perlu disegeraka­n, Mohamed Mustafa menyifatka­n ia sebagai satu keperluan bagi mewujudkan kerajaan yang stabil, sekali gus akan memperkuku­h ekonomi dan menarik pelabur.

“Kita mahu kerajaan yang benar-benar kukuh, dalam konteks di mana ia tidak perlu bimbang akan berlaku menteri letak jawatan, lompat parti dan Kabinet terpaksa dirombak seperti yang berlaku sekarang,” katanya.

Sementara itu, Shamsul Amri pula berpendiri­an, masalah hidup rakyat ketika ini perlu diselesaik­an terlebih dahulu, berbanding mengadakan PRU.

“Isunya adalah antara perut dan pilihan raya, jadi perut kita perlu jaga, maknanya kebajikan rakyat.

“PRU ini biarlah kita habiskan penggal pada 2023 nanti kerana seperti yang kita tahu, banyak dasar kerajaan bermula dari zaman BN dan dalam jangka masa panjang tidak selesai selepas Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan BN Plus masuk.

“Masing-masing mahu memperkena­lkan dasar baharu dan akhirnya yang rugi adalah rakyat,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia