Berita Harian

Syor subsidi bersasar dilaksana secara mikro

-

Bangi: Subsidi bersasar perlu dilaksanak­an secara mikro bagi memastikan agihan lebih berkesan dan menepati keperluan penerima.

Pengarah Institut Pembanguna­n dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, berkata keupayaan kerajaan untuk memberikan subsidi secara menyeluruh bukan lagi satu pilihan kerana perlu mengambil kira dari segi kemampuan dan implikasi ekonomi jangka panjang.

Katanya, langkah kerajaan memansuhka­n subsidi minyak masak berbotol dan mengekalka­n subsidi minyak masak paket, bukan menarik semula subsidi kepada rakyat, sebaliknya bertujuan menstruktu­r semula bantuan itu supaya benar-benar untuk manfaat golongan memerlukan.

“Buat permulaan, sasaran subsidi ialah untuk kumpulan B40 dan M40 bawah. Namun langkah seterusnya, kita tingkatkan kepada pemberian bersasar secara mikro.

“Bererti mungkin keluarga yang mempunyai 10 anak dengan dua anak. Kumpulan ini kita cerakinkan lagi supaya bantuan itu lebih menepati keperluan,” katanya selepas menjadi panel program Bicara Persada Ke-61 bertajuk Menjunjung Titah Hari Keputeraan Yang di-pertuan Agong: Apa Tindakan Seterusnya?” di sini, semalam.

Panel lain ialah Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), UKM, Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dan Pengerusi Eksekutif World Business Affairs Sdn Bhd, yang juga penganalis­is politik, Prof Emeritus Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Memberi contoh mengenai subsidi bersasar secara mikro itu, Noor Azlan yang juga pakar ekonomi, berkata jika satu keluarga mempunyai tiga anak di universiti dan satu keluarga lagi mempunyai tiga anak yang masih kecil, bukan semuanya akan diberi komputer atau lampin.

“Justeru, konsep sasaran secara mikro ini ialah penyasaran terbaik, iaitu anda dapat apa yang anda perlu.

“Melalui langkah ini, rakyat yang menerima akan merasakan kerajaan tahu apa sebenarnya yang mereka perlukan. Pada masa sama, jumlah subsidi juga mungkin akan berkuranga­n, yang memberi kemampanan kepada kerajaan,” katanya.

Noor Azlan juga berkata, kerajaan harus memastikan semua reka bentuk program subsidi dilakukan dengan betul, termasuk menetapkan indikator tempoh bantuan itu sebelum ia ditamatkan.

“Sebahagian besar program bantuan kerajaan mempunyai tarikh mula, namun tiada tarikh akhir. Apakah indikator yang akan menamatkan program ini?

“Subsidi ini seharusnya dilihat sebagai bantuan bersifat sementara kerajaan bagi meringanka­n beban dihadapi rakyat akibat episod tertentu,” katanya.

 ?? (Foto Hazreen Mohamad/bh) ?? Dari kiri, Noor Azlan, Shamsul Amri dan Mohamed pada program Bicara Persada Ke-61 di Persada Canselori UKM, Bangi, semalam.
(Foto Hazreen Mohamad/bh) Dari kiri, Noor Azlan, Shamsul Amri dan Mohamed pada program Bicara Persada Ke-61 di Persada Canselori UKM, Bangi, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia