Berita Harian

Nur Jazlan bertegas tak tanding Parlimen Pulai

-

Johor Bahru: Timbalan Pengerusi Badan Perhubunga­n Umno negeri Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed, tegas tidak mahu bertanding di kerusi Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau meramal akan kalah jika bertanding di kerusi itu berdasarka­n pola dan peratusan pengundi yang cukup rendah dan tiada perubahan sokongan pengundi Cina kepada calon Melayu dan BN.

Berikutan itu, bekas Ahli Parlimen Pulai selama tiga penggal itu, turut mempelawa beberapa ahli politik dalam BN dan UMNO termasuk Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, untuk bertanding di Parlimen Pulai.

Beliau berkata, pendirian tegas itu dibuat selepas analisis yang jelas berhubung keputusan dan statistik pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dua bulan lalu sudah memberikan petanda pada PRU-15 nanti.

“Saya tahu ramai terkejut dengan keputusan ini, ada yang macam tak percaya, ada yang anggap saya bergurau dan saya tahu ada juga yang gembira dengan keputusan saya itu.

“Ramai juga yang pujuk saya untuk tarik keputusan itu tapi saya tidak mahu. Ada yang tanya kenapa saya tak mahu bertanding lagi sedangkan saya masih ‘muda’ lagi berbanding beberapa orang Ahli Parlimen lain yang sudah terlalu tua tapi masih bernafsu mahu jadi calon lagi pada PRU-15.

“Jawapan saya mudah, dengan pola dan peratusan pengundi cukup rendah dan tiada perubahan sokongan pengundi Cina kepada calon Melayu dan BN, saya tahu saya akan kalah kalau bertanding juga.

“Kerusi Parlimen Pulai pula adalah kerusi marginal, di mana pecahan peratus undi Melayu dan Cina cukup tipis perbezaan. Kalau saya bertanding dan dapat 70 peratus undi Melayu tapi pengundi Cina pula langsung tak menyokong, saya tetap akan kalah.

“Sejarah PRU-14 sudah cukup mengajar saya untuk kenal hati budi pengundi Cina,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO bahagian Pulai, berkata terpulang kepada kepemimpin­an parti untuk menentukan calon bagi kerusi Parlimen Pulai kelak.

Beliau tidak menolak jika Pengerusi MCA Johor, Datuk Seri Wee Ka Siong, nak beralih angin dari Ayer Itam ke Pulai.

“Mungkin Ka Siong boleh tarik pengundi Cina di Pulai untuk kembali pilih dia sebagai Ahli Parlimen baharu, sekali gus boleh buktikan memang betul dakwaan beliau bahawa orang Cina sudah kembali sokong BN sejak PRN Johor lalu.

“Saya juga terbuka jika Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz, yang selalu bangga beliau menang besar di kawasan majoriti Melayu itu datang bertanding di Pulai.

“Mungkin dengan ketokohan dan kehebatan beliau sebagai seorang Ahli Parlimen paling senior dalam BN, Nazri boleh menang besar di Parlimen Pulai ini. Pada ketika itu, barulah beliau boleh dabik dada bahawa dialah hero dan hulubalang sebenar dalam UMNO/BN,” katanya.

Jelas Nur Jazlan, mungkin juga Khairy Jamaluddin boleh menjadi calon di Parlimen Pulai.

Katanya, Khairy juga sudah membuat pengorbana­n besar dengan ‘rela’ menyerahka­n kerusi Rembau kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Jadi, saya berjiwa besar untuk memberi laluan kepadanya yang sedang mencari kerusi lain untuk bertanding pada PRU15 nanti.

“Saya juga rasa kerusi Pulai ini sesuai untuk KJ kerana ratio pengundi pelbagai kaum, 48 peratus Melayu; 40 peratus Cina; 12 peratus India dengan 160,000 jumlah pengundi (Data terkini: PRN Johor) Kerusi Pulai ini ibarat kerusi Parlimen Keluarga Malaysia memang secocok dengan Khairy yang kini berada dalam Kerajaan Keluarga Malaysia,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia