Berita Harian

Selangor kesan peningkata­n influenza sekolah berasrama

- Oleh Ahmad Suhael Adnan ahmad.suhael@bh.com.my

JKN negeri teruskan pemantauan, jangkitan masih terkawal

Kuala Lumpur: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor mengesan peningkata­n kes jangkitan penyakit seperti influenza (ILI) di institusi pendidikan khususnya sekolah berasrama di negeri itu sejak dua minggu lalu.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, berkata beberapa faktor dikesan menyebabka­n peningkata­n jangkitan itu, antaranya kurang penekanan aktiviti saringan di sekolah, selain pertambaha­n aktiviti dijalankan secara berkumpula­n, sentuhan fizikal sesama pelajar dan kurangnya amalan kebersihan kendiri.

Bagaimanap­un, beliau mengesahka­n pemantauan dijalankan JKN Selangor mendapati jangkitan ILI di negeri terbabit masih terkawal.

Dalam pada itu, Dr Sha’ari mengesahka­n asrama Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) di Subang Jaya, dekat sini, diarah tutup bermula kelmarin akibat penularan Influenza A dengan seorang pelajar dimasukkan ke hospital.

Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling mengarahka­n penutupan sementara itu bagi tujuan disinfeksi dan mengawal penularan jangkitan.

Setakat semalam, beliau berkata, sejumlah 32.5 peratus atau 191 pelajar di sekolah menengah berasrama itu dikesan bergejala jangkitan saluran pernafasan atas seperti demam, batuk, selesema dan sakit tekak.

“Daripada jumlah itu, lima pelajar disahkan positif Influenza A, manakala 13 sampel masih menunggu keputusan.

“Terdapat satu kes berada di hospital untuk pemantauan dan keadaannya stabil, dengan ujian saringan COVID-19 dijalankan ke atas 30 pelajar bergejala mendapati semuanya negatif,” katanya dalam kenyataan.

Difahamkan, kluster jangkitan ILI mula dikesan di sekolah itu Selasa lalu, selepas PKD Petaling menerima notifikasi 110 pelajar bergejala dengan kes pertama mula bergejala sejak 14 Jun lalu.

Sumber di SAMBEST mengesahka­n asrama sekolah itu diarah tutup oleh PKD Petaling dan ibu bapa sudah diminta mengambil anak masing-masing bermula kelmarin.

Bagaimanap­un tidak dinyatakan sampai bila asrama sekolah itu ditutup disebabkan jangkitan ILI.

Isnin lalu, Dr Sha'ari melalui satu kenyataan memaklumka­n mengesan satu kluster ILI membabitka­n sebuah sekolah berasrama penuh di Gombak, membabitka­n 226 pelajar yang bergejala demam, batuk, selsema dan sakit tekak.

Daripada jumlah itu, enam pelajar disahkan positif Influenza A dengan kadar jangkitan 32.7 peratus, manakala seorang pelajar dimasukkan ke pusat perubatan swasta untuk pemantauan, namun keadaannya stabil.

Sementara itu, Dr Sha’ari menasihatk­an orang ramai termasuk pentadbir institusi pendidikan dan pusat jagaan kerajaan atau swasta untuk sentiasa mengamalka­n langkah kawalan kendiri.

Ia termasuk mengamalka­n penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka di kawasan sesak, serta menjaga kebersihan diri, termasuk kerap mencuci tangan.

Pengarah Kesihatan Selangor

Selain itu, orang ramai dinasihatk­an tidak ke tempat tumpuan awam, sekolah dan tempat kerja sekiranya bergejala termasuk segera mendapatka­n rawatan serta melakukan ujian saringan di fasiliti kesihatan.

“JKN Selangor akan terus memantau situasi dan trend kejadian ILI di negeri ini serta bekerjasam­a dengan pihak yang berkaitan bagi memastikan langkah kawalan dan pencegahan dijalankan dengan sewajarnya,” katanya.

 ?? ??
 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia