Berita Harian

Lima lelaki direman SPRM

-

Kes rasuah lulus lesen GDL

Seremban: Dua pegawai penguat kuasa dan empat lelaki lain ditahan, selepas disyaki terbabit rasuah dalam kelulusan ujian lesen memandu kenderaan barangan (GDL) di negeri ini.

Semua suspek berusia antara 35 hingga 65 tahun itu ditahan kira-kira jam 5 petang kelmarin, ketika hadir ke Pejabat Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, di sini.

Sumber berkata, selain dua pegawai penguat kuasa terbabit, empat yang ditahan tenaga pengajar dan pekerja institut memandu yang menerima bayaran rasuah bagi permohonan lesen kelas GDL.

“Lima daripada enam suspek kini direman selepas Penolong Kanan Pendaftar Khairunnis­a Kasa membenarka­n permohonan reman SPRM semalam.

“Empat daripada mereka direman lima hari, manakala seorang lagi direman selama tiga hari. Baki seorang lagi suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM disebabkan faktor kesihatan,” katanya.

Sumber berkata, semua suspek disyaki meminta dan menerima wang rasuah antara RM300 hingga RM650 daripada pemohon bagi meluluskan setiap ujian lesen memandu kelas GDL melalui tenaga pengajar institut memandu di Negeri Sembilan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail mengesahka­n penahanan berkenaan, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(a) & Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia