Berita Harian

Mangsa stabil, mula buka mata

- Oleh Siti Rohana Idris bhnews@bh.com.my

Budak 4 tahun ada dadah dalam badan

Ibu bersyukur lepasi saat mendebarka­n, anggap satu keajaiban

Kota Bharu: Keadaan kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang dilapor kritikal akibat kandungan methampeth­amine dalam badan, dilapor semakin stabil selepas dikatakan mula membuka matanya kelmarin.

Perkara itu dimaklumka­n ibunya, Rohaya Hassan, 36, yang turut mengesahka­n anaknya itu juga sudah mula memberikan tindak balas sebaik namanya dipanggil, walaupun keadaannya masih mamai.

“Semalam (kelmarin) dia sudah buka mata tapi masih mamai, hari ini (semalam) semakin stabil dan beri tindak balas cepat bila dipanggil nama,” katanya.

Rabu lalu, kanak-kanak terbabit dilapor dipindahka­n ke wad biasa dalam keadaan masih belum sedar, namun keadaannya semakin baik menjelang petang kelmarin.

Dalam pada itu, Rohaya mengaku bersyukur melihatkan perkembang­an anaknya yang semakin positif, selepas beberapa hari melalui situasi kritikal.

“Hari ini (semalam) dia sudah boleh memberi respons cepat sebaik namanya dipanggil walau kelihatan masih lemah.

“Itu sudah mencukupi bagi saya kerana hampir empat hari keadaannya kritikal dan ia sangat membimbang­kan kami sekeluarga,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu Rohaya yang berasal dari Kampung Sri Bintang di Kuala Krai berharap anaknya dibenarkan pulang secepat mungkin kerana berdepan banyak kesukaran untuk menguruska­n anaknya itu sendirian, apatah lagi dengan keadaannya yang menghidap kanser payu dara tahap akhir.

Sehingga kini, katanya pihak hospital belum memaklumka­n bila anaknya itu boleh dibenarkan pulang kerana masih perlu dipantau secara berterusan.

“Ia menyukarka­n (jika anak terus berada di Kota Bharu) kerana saya perlu menguruska­n anak seorang diri tanpa bantuan keluarga.

“Selera makan saya pun sudah kurang, tetapi sangat bersyukur kerana dia sangat baik dan tidak meragam.

“Alhamdulil­lah, saya sangat lega kerana kami sudah melepasi saat mendebarka­n dan saya anggap ia satu keajaiban kerana anak mampu kembali sedar,” katanya.

Sebelum ini akhbar melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun kritikal kerana terdapat kandungan methampeth­amine dalam badan.

Seorang buruh berusia 30 tahun yang juga bapa saudara kanak-kanak itu ditahan reman sehingga 26 Jun ini untuk siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia