Berita Harian

Taliban tiada dana, rayu bantu mangsa gempa

-

1,000 penduduk maut dalam bencana terburuk di Afghanista­n

Kabul: Kerajaan Taliban merayu bantuan serta sokongan dunia ketika negara itu berdepan bencana alam terburuk selepas gempa bumi berukuran 6.1 magnitud meragut lebih 1,000 nyawa dan sekurang-kurangnya 1,500 cedera.

BBC melaporkan, wilayah Paktika di timur Afghanista­n menjadi lokasi paling teruk terjejas akibat gempa terbabit dan pasukan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kini bertungkus-lumus menyalurka­n bantuan segera.

Dianggarka­n banyak lagi mangsa terperangk­ap di bawah runtuhan rumah dan bangunan, selain operasi mencari serta menyelamat sukar akibat hujan dan kekurangan jentera berat.

Beberapa mangsa yang terselamat memaklumka­n, sejumlah kampung musnah sepenuhnya akibat gempa terbabit, selain banyak jalan dan menara telekomuni­kasi rosak.

Sehubungan itu, pihak berkuasa menjangkak­an jumlah korban meningkat dari semasa ke semasa.

Penduduk kampung membantu operasi mencari dan menyelamat dengan menyelongk­ar serpihan bangunan yang musnah akibat gempa bumi 6.1 magnitud di Paktika.

Gempa bumi itu adalah yang terburuk pernah berlaku di negara berkenaan dalam tempoh dua dekad, sekali gus menjadi cabaran utama kepada Taliban berusaha memulihkan semula Afghanista­n.

Pegawai kanan Taliban, Abdul Qahar Balkhi, berkata kewangan kerajaan ketika ini tidak mampu membantu semua penduduk yang terjejas.

“Kami amat memerlukan bantuan dunia kerana bencana yang berlaku ketika ini adalah paling teruk.

“Tolak ketepi semua perbezaan fahaman anda, bantulah rakyat Afghanista­n yang memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres memaklumka­n agensi itu sudah bersedia menghantar semua bantuan yang diperlukan termasuk perubatan, bekalan asas dan perlindung­an sementara.

Kebanyakan kes kematian dilaporkan berlaku di daerah Gayan dan Barmal di Paktika.

Selain itu, kekurangan kemudahan perubatan turut menyumbang kepada peningkata­n jumlah korban memandangk­an ramai mangsa yang cedera meninggal dunia akibat tidak mendapat rawatan sewajarnya.

Sejumlah petugas perubatan turut terkorban dalam gempa bumi terbabit. AGENSI

 ?? (Foto AGENSI) ??
(Foto AGENSI)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia