Mahkamah Agung AS benar rakyat bawa senjata api di khalayak
Washington: Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) memutuskan rakyat negara itu mempunyai asas untuk bawa senjata api di khalayak ramai, keputusan penting yang dibuat hanya beberapa minggu selepas satu lagi kejadian tembakan di sekolah.
Keputusan 6-3 itu membatalkan undang-undang New York yang memerlukan seseorang untuk membuktikan mereka mempunyai keperluan mempertahankan diri yang sah untuk menerima permit senjata dan akan menghalang negara daripada menyekat orang yang membawa senjata.
Walaupun desakan yang semakin meningkat untuk mengehadkan senjata api selepas dua tembakan besar-besaran pada Mei mengejutkan negara itu, mahkamah berpihak kepada peguam bela yang mengatakan Perlembagaan AS menjamin hak untuk memiliki dan membawa senjata.
Keputusan kelmarin itu adalah yang pertama oleh mahkamah dalam kes Pindaan Kedua yang besar dalam satu dekad dan kemenangan untuk lobi senjata api oleh Persatuan Rifle Kebangsaan (NRA).
“Keputusan hari ini adalah kemenangan besar untuk lelaki dan wanita yang baik di seluruh Amerika dan adalah hasil perjuangan selama berdekad-dekad yang diterajui NRA.
“Hak untuk mempertahankan diri dan untuk membela keluarga dan orang tersayang anda tidak sepatutnya berakhir di rumah anda,” kata Naib Presiden Eksekutif NRA, Wayne Lapierre dalam satu kenyataan.
Hakim Clarence Thomas, yang menulis pendapat majoriti berkata, Pindaan Kedua dan Keempat Belas melindungi hak individu untuk membawa pistol untuk mempertahankan diri di luar rumah.
“Keperluan sebab wajar New
York melanggar Pindaan Keempat Belas dengan menghalang rakyat yang mematuhi undangundang dengan keperluan mempertahankan diri biasa daripada menggunakan hak Pindaan Kedua mereka untuk menyimpan dan mengangkat senjata di khalayak ramai untuk mempertahankan diri,” katanya.
Senat AS sedang mempertimbangkan rang undang-undang dwipartisan yang jarang berlaku merangkumi langkah kawalan senjata api yang sederhana.
Pada 14 Mei, seorang remaja berusia 18 tahun menggunakan senapang jenis AR-15 untuk membunuh 10 warga Afrika Amerika di sebuah pasar raya di Buffalo, New York.
Kurang dua minggu kemudian 19 kanak-kanak dan dua guru ditembak dan dibunuh di sebuah sekolah rendah di Uvalde, Texas, oleh seorang remaja lain dengan jenis senapang separa automatik berkuasa tinggi yang sama.
Undang-undang New York mengatakan bahawa untuk diberi permit bagi membawa senjata api di luar rumah, pemilik senjata mesti menunjukkan dengan jelas bahawa ia secara jelas diperlukan untuk mempertahankan diri - bermakna mereka yang tidak mempunyai keperluan yang ditunjukkan tidak boleh berbuat demikian.
Penyokong hak senjata berkata, itu melanggar Pindaan Kedua Perlembagaan, yang mengatakan hak orang untuk menyimpan dan membawa senjata tidak boleh dilanggar.
Lebih separuh daripada negeri AS sudah membenarkan membawa senjata api tanpa kebenaran, kebanyakannya hanya berbuat demikian dalam dekad yang lalu.
Namun, lebih daripada 20 masih mengekalkan sekatan yang kini mereka boleh dipaksa untuk membatalkannya berdasarkan keputusan mahkamah. AFP