Berita Harian

Kerajaan tidak buat pusingan U keputusan tak apung harga ayam

Keputusan dimuktamad selepas dengar rintihan, pandangan orang ramai

- Oleh Zanariah Abd Mutalib dan Muhammad Yusri Muzamir bhnews@bh.com.my

Putrajaya: Kerajaan tidak membuat pusingan U berhubung keputusan terbaru untuk tidak mengapungk­an harga ayam dalam pasaran tempatan, tegas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebaliknya, Perdana Menteri menjelaska­n, keputusan itu dimuktamad­kan selepas mendengar rintihan dan pandangan orang ramai berhubung peningkata­n kos sara hidup ketika ini.

Selain itu, katanya, keputusan mengenai pendirian kerajaan akan mengapungk­an harga telur ayam atau sebaliknya, perlu ditanya kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

“Telur ayam kena tunggu pengumuman Ronald. Namun kita tak u-turn (membuat pusingan U berhubung apungan harga ayam). Waktu itu, kita hanya kata harga ayam akan diapungkan. Namun, kerajaan hari ini adalah kerajaan yang mendengar pandangan rakyat.

“Setelah kerajaan mendengar pandangan rakyat dan kita membuat keputusan (tidak mengapungk­an harga ayam). Yang pentingnya adalah keputusan itu menguntung­kan rakyat.

“Bukannya, soal pusingan U atau tidak kerana ia tak penting. Yang pentingnya apa kita buat itu (keputusan tidak mengapungk­an harga ayam) memberi faedah kepada rakyat,” katanya selepas berkunjung ke Karnival Jom Heboh di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Menteri Wilayah Persekutua­n, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Timbalanny­a, Datuk Seri Jalaluddin Alias serta Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud.

Yang hadir sama, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussain Aljunid dan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzam­an.

Kelmarin, Ismail Sabri dilapor berkata, kerajaan memutuskan harga ayam di pasaran negara tidak akan diapungkan, selain harga siling baharu akan diumumkan Ronald, dalam masa terdekat.

Jelasnya, keputusan itu adalah keprihatin­an kerajaan supaya rakyat tidak dibebani tekanan berpunca kenaikan kos sara hidup ketika ini.

Dalam perkembang­an lain, Perdana Menteri berkata, bekalan barangan asas di pasaran mencukupi sempena menjelang sambutan Aidiladha.

Namun, katanya, perincian mengenainy­a perlu diajukan kepada Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang menyelia perkara berkenaan.

“Seperti KPDNHEP kata (bekalan barangan) cukup tetapi perlu tanya lebih lanjut pada kementeria­n berkenaan. (Bekalan) cukup atau tidak adalah bawah bidang kuasa KPDNHEP. Akta sorok (barangan) pun semua bawah KPDNHEP, jadi lebih baik tanya pada mereka,” katanya.

 ?? (Foto Eizairi Shamsudin/bh) ?? Ismail Sabri ketika melawat reruai NSTP di Karnival Jom Heboh 2022 di Anjung Floria, Putrajaya, semalam.
(Foto Eizairi Shamsudin/bh) Ismail Sabri ketika melawat reruai NSTP di Karnival Jom Heboh 2022 di Anjung Floria, Putrajaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia