Berita Harian

Lembaga Unggas Negara boleh bantu selesai isu ternakan

-

Kuala Lumpur: Penubuhan Lembaga Unggas Negara seperti disyorkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, mampu memastikan ekosistem industri ternakan di Malaysia berfungsi lebih jelas dan berkesan, sekali gus menyelesai­kan pelbagai isu babit bekalan makanan.

Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM), Azlin Othman yang melihat syor berkenaan amat wajar, berharap penubuhan lembaga itu disegeraka­n supaya satu dasar berkaitan dapat dirangka dengan lebih menyeluruh, sekali gus menyelesai­kan isu dalam industri penternaka­n ayam.

“Langkah ini dapat memastikan industri ayam tidak mudah dimanipula­si kartel berkepenti­ngan. Pelbagai kementeria­n dan agensi kerajaan main peranan berbeza, namun dengan tertubuhny­a lembaga ini, ia dapat memastikan ekosistem industri unggas dapat berfungsi lebih berstruktu­r,” katanya kepada BH, semalam.

Menegaskan lembaga itu akan dapat melihat lebih terperinci masalah makro berkaitan industri terbabit, beliau melihat cadangan itu baik dalam konteks menjaga kepentinga­n semua pihak, terutama rantaian bekalan paling akhir iaitu pengguna yang kini dibebani peningkata­n harga barangan dan kos sara hidup.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berbeza pandangan dan berpendapa­t isu membelengg­u industri penternaka­n ayam tidak sehingga memerlukan lembaga sedemikian ditubuhkan kerajaan.

“Saya tidak pasti apa pentingnya lembaga ini sebab jika kita lihat sektor pertanian, ada pelbagai perbadanan, lembaga ditubuhkan khusus untuk sesuatu pertanian. Bagi ternakan seperti ayam, sektor ini sudah berkembang, malah dari segi pengeluara­n pula, melebihi keperluan di negara kita.

“Cuma isu yang timbul adalah dari segi bekalan dan kenaikan harga, tetapi tidaklah sampai sehingga ada keperluan menubuhkan badan seperti Lembaga Unggas Negara. Pihak berkuasa sebaliknya perlu melipatgan­dakan usaha memantau dan mengawasi isu bekalan ayam.

“Saya rasa negara kita dari segi penternaka­n sudah mencukupi, isunya adalah mengawasi kenaikan harga bekalan serta menangani punca kenaikan itu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia