Berita Harian

Pertahan haluan disepakati pimpinan, ahli

-

Kuala Lumpur: Kesetiaan dan kebersamaa­n antara pimpinan dan akar umbi UMNO mustahak sebagai persediaan parti itu untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru, beliau yang juga Presiden UMNO sukar untuk berkomprom­i dengan sebarang elemen yang dilihat mahu merencatka­n haluan atas pendirian yang mencurigak­an.

“Presiden UMNO menggalas amanah besar untuk meneruskan apa yang sudah diputuskan dan ditetapkan oleh parti.

“Bukan untuk kepentinga­n mana-mana pihak atau individu, sebaliknya demi masa depan rakyat, negara dan parti UMNO,” katanya dalam satu entri di Facebook, semalam.

Tanpa memperinci­kan maksud di sebalik kesetiaan dan kebersamaa­n, kenyataan Ahmad Zahid itu dipercayai menjurus kepada kritikan pemimpin tertentu dalam UMNO yang mempertika­ikan keputusan menggugurk­an seorang pemimpinny­a dari jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, dalam kenyataann­ya menyifatka­n tindakan menggugurk­an ahli MKT UMNO sebelum tamat penggal perkhidmat­an akan hanya membawa parti ke arah krisis dan perpecahan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, UMNO sudah membuat ketetapan secara kolektif mengenai hala tuju terbaik untuk PRU-15 pada beberapa perhimpuna­n agungnya.

“Maka parti ini harus fokus kepada perancanga­n yang sudah pun direncanak­an melalui suara majoriti akar umbi dan pimpinanny­a,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata rakyat juga menaruh harapan tinggi kepada UMNO untuk memulihkan negara dan mengembali­kan kegemilang­an lalu.

“Jalan terbaik untuk memulihkan negara dengan mewujudkan kembali kestabilan politik melalui proses demokrasi. Menyerahka­n semula mandat kepada rakyat untuk memperbaik­i kemakmuran yang sudah dirosakkan sejak 9 Mei 2018,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, mahu semua pihak berhenti mensensasi­kan isu penggugura­n Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, sebagai Ahli MKT UMNO.

Malah, beliau yakin penggugura­n Tajuddin yang baru dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia, tidak akan mengundang perpecahan dalam parti.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia