Berita Harian

Kementeria­n akan semak semula kurikulum sekolah

- Oleh Zanariah Abd Mutalib zanariah_mutalib@bh.com.my

Tindakan bagi nilai dakwaan sukatan mata pelajaran terlalu sukar

Putrajaya: Kementeria­n Pendidikan akan menyemak semula kurikulum sekolah rendah dan menengah, bagi menilai dakwaan sukatan mata pelajaran terlalu sukar atau sebenarnya pelajar yang tidak biasa dengan aras kesukaran berkenaan.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pusingan pertama Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) akan lengkap pada tahun ini, manakala Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSR) lengkap pada tahun lalu.

“Jika tamat pusingan ini, memang kita akan semak semula silibus. Kita lihat kesesuaian dengan mengambil kira keadaan dan perkembang­an semasa.

“Ia tidak boleh dibuat secara suka-suka.

“Ada proses perlu diikuti. Tidak boleh hari ini kata nak semak, kita boleh semak.

“Dalam konteks ini, dalam semakan semula nanti, kita akan lihat sama ada isunya sama ada (kurikulum) benar-benar kompleks atau ketidakbia­saan. Ini perkara yang sedang kita beri tumpuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan dan Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 18 (2) serta Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan semalam.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementeria­n, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid.

Radzi mengulas rungutan segelintir ibu bapa dan guru yang mengatakan kurikulum beberapa mata pelajaran seperti Matematik Tahun Satu beraras tinggi.

Sementara itu, Radzi berkata, kementeria­n itu memberi keutamaan membuka sekolah baharu di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti di Klang, Selangor dan beberapa kawasan di Johor.

Beliau berkata, pihaknya sedang mencari lokasi yang sesuai bagi tujuan itu kerana tidak semua kawasan dengan kepadatan penduduk tinggi mempunyai tanah yang sudah tersedia untuk pembinaan sekolah.

“Sebagai contoh, Klang antara kawasan paling padat dan ada sekolah yang bilangan muridnya hampir 4,000 orang.

“Jadi, kita ambil pendekatan menyediaka­n sekolah baharu. Namun, cabaran besarnya untuk mendapatka­n tanah yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata, kira-kira 10 sekolah baharu yang dibina di seluruh negara setiap tahun.

Mengenai sama ada KPM bercadang untuk menjadikan warden sekolah berasrama sebagai jawatan tetap, selepas kadar elaun mereka dinaikkan 25 peratus bermula 1 Ogos ini dan pertambaha­n jumlah warden seramai 3,813 orang, Radzi berkata, pihaknya berbincang semua pilihan yang ada sebelum membuat keputusan itu.

“Keputusan semalam (kenaikan elaun) sudah mengambil kira semua kekangan yang ada. Bukan kita tidak dengar semua cadangan yang diberikan dan kita lakukan analisis serta perbincang­an mengenainy­a dengan agensi pusat.

“Ada kekangan di luar ruang lingkup kami dan berdasarka­n kekangan itu, kita buat yang terbaik. Ada beberapa perkara yang sedang kita usahakan.

“Antaranya takrifan rumah warden dan membuat penambahba­ikan berterusan,” katanya.

Mengenai majlis berkenaan, Radzi berkata, sebuah blok bangunan baharu dan padang akan dibina di SK Putrajaya Presint 18 (2), membabitka­n kos RM14.5 juta, susulan pertambaha­n perumahan baharu di kawasan sekitar.

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Radzi melihat tapak projek selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan dan Padang SK Putrajaya Presint 18 (2) serta Mesyuarat Agung PIBG sekolah, di Putrajaya, semalam.
(Foto BERNAMA) Radzi melihat tapak projek selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan dan Padang SK Putrajaya Presint 18 (2) serta Mesyuarat Agung PIBG sekolah, di Putrajaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia