Berita Harian

Media arus perdana perlu seiring media sosial

-

Kuala Lumpur: Pengamal media perlu menerima hakikat sedang bersaing dengan media sosial yang sifatnya segera, masa sebenar (real-time) dan tanpa kawalan.

Tokoh Wartawan Negara Ke-12, Tan Sri Johan Jaaffar berkata, justeru hakikat diakui bahawa media arus perdana harus hidup seiring dengan media sosial.

Namun demikian, katanya, pengamal media juga menyedari tuntutan ke atas kebenaran dalam konteks media arus perdana yang tidak boleh dikompromi.

“Kita sedar keperluan melihat semula pendekatan bekerja serta pembanguna­n modal insan diperlukan untuk menghadapi keperluan masa ini dan masa depan.

“Dalam konteks Revolusi Internet, orang mula bercakap tentang ‘kerajaan masa hadapan’, juga masa depan pentadbira­n awam.

“Mahu tidak mahu kita juga perlu bercakap mengenai media masa hadapan. Bagi saya perbincang­an mengenai media masa hadapan ini sepatutnya menjadi agenda utama kita. Dan saya juga percaya the future is now,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan di hadapan pengamal media pada Malam Wartawan Malaysia

2022, Hadiah Kewartawan­an Malaysia Mpi-petronas 2021, di sini, malam kelmarin.

Johan berkata, selagi wartawan berpegang kepada prinsip etika dan prinsip kewartawan­an yang sebenar, masih ada esok untuk wartawan, profesion kewartawan­an dan dunia niaga berteraska­n media.

“Dalam konteks hari ini, pelanggan kita semakin canggih dan cerdik. Mereka ada banyak pilihan dan mereka mudah membuat penilaian mana satu pilihan mereka.

“Mereka akan menghukum kita sekiranya kita dilihat hanya menjadi corong pemerintah atau paparan kita tidak lebih daripada newsletter elit pemerintah. Era wayang pacak sudah berakhir.

“Kadangkala wartawan sendiri lupa peranan yang boleh kita mainkan, tanggungja­wab yang perlu kita galas dan harapan rakyat kepada kita,” katanya.

Beliau berkata, memang tidak dapat dinafikan ada masanya wartawan turut menjadi complicit atau bersubahat dalam membiarkan salah laku, skandal dan rasuah berleluasa.

“Ada kalanya wartawan tidak berani atau memilih untuk tidak mahu menanyakan soalan yang betul dan menafikan ‘bendera merah’ yang nyata sedang berlaku,” katanya.

“Saya tahu tidak mudah bekerja sebagai wartawan dalam negara yang banyak undang-undang dan akta yang mengekang kebebasan bersuara dan kebebasan media.

“Malah dalam resolusi Hari Wartawan Nasional Malaysia (HAWANA) ketika di Melaka kita menyatakan pendirian tegas menuntut kerajaan menghapusk­an mana-mana akta dan undang-undang berkaitan media yang dianggap lapuk atau ‘archaic’ dan tidak lagi sesuai dengan keperluan semasa,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia