Berita Harian

Kyiv perlu 10 tahun bina laluan baharu di Laut Hitam

-

Konflik Russia-ukraine

Infrastruk­tur pelabuhan terpaksa dibina semula ganti kemudahan musnah dibedil Russia

Kyiv: Ukraine dijangka mengambil masa sedekad untuk membina infrastruk­tur baharu bagi menggantik­an pelabuhann­ya di Laut Hitam, yang mengalami sekatan oleh Russia, sekali gus menghalang bijirin dieksport ke seluruh dunia.

Timbalan Menteri Pertanian Ukraine, Taras Vysotskiy, berkata jutaan tan gandum dan bijirin lain terkandas di pelabuhan Ukraine sejak Russia menyerang Februari lalu, sekali gus mencetuska­n kebimbanga­n global berhubung kelaparan dan harga makanan.

“Bagi pembinaan laluan alternatif, pelaburan akan mengambil masa 10 tahun untuk cuba membina infrastruk­tur yang diperlukan bagi menggantik­an kemudahan pelabuhan Laut Hitam yang kita bina sejak 2000 dan mengambil masa 20 tahun.

“Laluan alternatif ini penting tetapi hanya boleh membawa kira-kira satu pertiga daripada eksport Ukraine,” katanya.

Russia mula menceroboh Ukraine pada 24 Februari lalu apabila Presiden Vladimir Putin menghantar tentera melintasi sempadan melalui ‘operasi ketenteraa­n khas’.

Pada masa sama, Vysotskiy berkata, sekutu Barat Ukraine kini berusaha membuka sekatan pelabuhan, terutama di Odessa, iaitu fasiliti utama bagi pelepasan untuk hasil pertanian negara.

“Tanpa jaminan yang utuh bagi membenarka­n kapal masuk dan keluar dengan selamat, kita tidak boleh membenarka­n tindakan sedemikian.

“Malah Russia sendiri tidak bersedia untuk memberikan jaminan ini,” katanya.

Vysotskiy berkata, kira-kira 20 juta tan bijirin hasil tuaian tahun lalu masih berada di Ukraine.

Katanya, namun bijirin itu boleh disimpan sehingga dua tahun melalui keadaan yang betul.

Beliau berkata, kira-kira 10 hingga 15 peratus daripada infrastruk­tur pelabuhan dimusnahka­n roket Russia melalui serangan ke atas sebuah terminal bijiran terbesar di Ukraine di bandar selatan Mykolaiv.

Sementara itu, berhubung tuduhan dibuat Presiden Ukraine,

Volodymyr Zelensky, beliau berkata, Kyiv mempunyai bukti bahawa kira-kira setengah juta tan bijirin dicuri dari wilayah yang sebahagian­nya diduduki Russia, khususnya wilayah Kherson, Zaporizhzh­ia dan Lugansk.

“Kita menerima bukti daripada imej satelit yang menunjukka­n bijirin diangkut ke Syria,” katanya.

Beliau berkata, Ukraine sudah memaklumka­n kepada beberapa negara mengenai risiko mengangkut bijirin yang dicuri, sambil menambah bahawa kapal membawanya dari Crimea, yang ditakluki Russia pada 2014.

Katanya, Ukraine tidak mempunyai hubungan dengan Syria tetapi mengakui ada negara lain ditawarkan bijirin dari Russia yang disyaki dicuri dari Ukraine.

“Kita dimaklumka­n bahawa Mesir ditawarkan bijirin (dari Ukraine) tetapi mereka menolaknya,” katanya. AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia