Berita Harian

Berhutang hingga ‘hujung nyawa’

- Oleh Ahmad Suhael Adnan ahmad.suhael@bh.com.my

Ramai terjerat hutang kad kredit untuk penuhi tuntutan gaya hidup

Kuala Lumpur: Berhutang sehingga ‘hujung nyawa’ dan terpaksa ‘gali lubang untuk tutup lubang’.

Itu antara situasi dialami Fairuz Karmila Ahmad, 34, dan Huzaimi Ab Ghafar, 35, yang menanggung beban hutang kad kredit dan komitmen lain secara berterusan sehingga pernah putus harapan untuk menemui jalan keluar.

Fairuz Karmila terperangk­ap dengan jerat hutang kad kredit dan pinjaman peribadi akibat perbelanja­an tinggi bagi memenuhi tuntutan gaya hidup ketika baru mula bekerja dengan syarikat swasta, sembilan tahun lalu.

Daripada gaji bulanannya, 40 peratus digunakan untuk membayar hutang kad kredit dan pinjaman peribadi. Memburukka­n keadaan, pinjaman peribadi makin bertambah daripada hanya RM30,000 kepada RM130,000 ketika ini kerana kerap membuat pinjaman baharu untuk melunaskan hutang kad kredit.

Kad kredit yang sudah bebas hutang itu pula akan digunakan untuk membeli barangan keperluan berharga ribuan ringgit seperti komputer riba dan mesin basuh, menyebabka­n hutang kedua-duanya terus bertambah.

“Saya mula miliki kad kredit sebaik mula bekerja pada 2012. Ketika itu memang ‘gila’ melancong dan berbelanja barangan perhiasan diri guna kad kredit, namun gaji kecil menyebabka­n saya hanya dapat bayar minimum atau lebih sedikit pada kebanyakan waktu.

“Ada beberapa kali terlepas bayar sehingga dikenakan caj bayaran lewat yang tinggi. Jika mahu beli barangan keperluan mahal seperti mesin basuh, saya akan buat pinjaman peribadi baharu untuk ‘kambus’ hutang kad kredit supaya boleh guna kad kredit itu pula untuk beli mesin basuh berkenaan,” katanya.

Secara keseluruha­n, Fairuz Karmila kini menanggung hutang lebih RM140,000, merangkumi RM130,000 hutang pinjaman peribadi dan RM11,000 hutang dua kad kredit, dengan komitmen sekitar RM2,000 sebulan untuk melunaskan kedua-dua hutang itu.

Namun, situasi kini lebih terkawal selepas mula mengubah cara hidup dengan mengurangk­an perbelanja­an bagi tujuan tidak penting, selain membuat perniagaan kecil-kecilan untuk menjana pendapatan tambahan.

“Contohnya ketika muda, saya beli minyak wangi berjenama berharga lebih RM200, sekarang beli yang berharga RM80 sahaja. Begitu juga barangan lain supaya dapat membayar komitmen bulanan dan perbelanja­an keluarga. Buat masa ini, belum nampak bila boleh selesaikan semua hutang ini,” katanya.

Huzaimi turut berkongsi keperitan menanggung hutang kad kredit hingga akaun banknya dibekukan akibat tidak dapat melunaskan hutang berkenaan ketika berdepan masalah kewangan pada 2018 apabila pusat tuisyen dalam talian diusahakan­nya tidak mendapat sambutan.

“Ketika itu, saya tiada aliran pendapatan tetap, jadi terpaksa guna kad kredit untuk beli barang keperluan rumah dan makanan. Awalnya dapat bayar minimum sekitar RM400 sebulan, namun keadaan semakin buruk hingga hutang kad kredit yang cecah RM8,000 ketika itu tertunggak tiga bulan pada hujung 2019.

“Pihak bank sekat akaun simpanan menyebabka­n saya tidak dapat mengeluark­an wang daripada akaun simpanan yang ketika itu berbaki sekitar RM2,000. Saya juga tak dapat guna kad kredit untuk beli barang keperluan rumah. Ketika itu, hanya mampu berserah pada takdir,” katanya.

Katanya, mujur beliau mempunyai satu lagi akaun simpanan dengan bank berbeza yang ketika itu berbaki sekitar RM800 untuk menampung perbelanja­an dan kemudian rezeki menyebelah­inya apabila dilantik sebagai pembantu penyelidik dengan pendapatan RM1,800 sebulan pada Januari 2020.

 ?? ??
 ?? ??
 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia