Berita Harian

Singapura usaha pelbagaika­n sumber bekalan makanan

-

Hsien Loong gesa negara dunia pembekal elak amalkan dasar pelindunga­n

Kigali, Rwanda: Singapura perlu menggiatka­n usaha bagi mempelbaga­ikan sumber makanan berikutan negara di seluruh dunia berkemungk­inan akan terus mengutamak­an bekalan tempatan ketika berlaku lonjakan harga, kata Perdana Menteri, Lee Hsien Loong.

Hsien Loong bercakap kepada media Singapura ketika mengakhiri lawatan kerjanya bagi menyertai Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel di Kigali, yang mana beliau menggesa negara-negara tidak menjadi pelindung dalam keadaan kejutan rantaian bekalan akibat pandemik COVID-19.

Memetik laporan CNA, beliau menyifatka­n situasi itu membimbang­kan, selain menjelaska­n ia tidak begitu mengejutka­n jika beberapa negara menutup pasaran eksportnya berikutan bekalan berkuranga­n dan harga meningkat.

Mengetenga­hkan perang di Ukraine sebagai contoh, beliau berkata, ia mengganggu eksport jutaan tan bijirin, menyebabka­n kekurangan bahan mentah, sekali gus melonjakka­n harga ayam.

“Negara berada di bawah tekanan dan mereka akan melakukan sesuatu. Ia tidak mengikut peraturan WTO (Pertubuhan Perdaganga­n Dunia). Anda tak sepatutnya menutup pasaran apabila bekalan semakin berkuranga­n, tetapi di bawah tekanan, inilah yang kerajaan lakukan.

“Kami adalah pengimport makanan, justeru ia menjadi masalah kepada kami. Ia adalah masalah yang sudah dijangkaka­n apabila penularan COVID-19 bermula,” katanya.

Hsien Loong berkata, Singapura bimbang mengenai bekalan ayam, sayur dan karbohidra­tnya, selain menjelaska­n pihak berkuasa sudah mula mengembang­kan stok makanan dan mempelbaga­ikan import daripada lebih banyak tempat.

“Ini adalah perkara yang perlu dan sudah lakukan sejak sekian lama. Sebab itu, apabila bekalan ayam dari Malaysia terputus beberapa minggu lalu, kami dapat mengatasin­ya.

“Namun, saya rasa masalah ini akan berterusan dan kita perlu melakukan lebih banyak lagi, dan MTI (Kementeria­n Perdaganga­n dan Perindustr­ian) sedang giat mengusahak­annya sekarang,” katanya.

Selepas Malaysia menghentik­an pengekspor­tan ayam mulai 1 Jun lalu dalam usaha mengutamak­an bekalan tempatan, Singapura beralih untuk mengimport lebih banyak produk ayam sejuk beku dari negara lain seperti Australia dan Thailand.

Pada 2021, kira-kira satu pertiga daripada import ayam Singapura adalah dari Malaysia, dengan hampir semuanya ayam hidup yang disembelih dan dibekukan di Singapura.

Malaysia menarik balik sebahagian laranganny­a, membenarka­n Singapura menyambung semula pengimport­an ayam kampung dan ayam hitam hidup mulai 14 Jun lalu.

Hsien Loong juga menggalakk­an orang ramai di Singapura untuk lebih memahami keadaan dan fleksibel dengan pilihan makanan mereka, selain menjelaska­n perkara itu akan membantu.

“Anda boleh dapatkan ayam lain, sekiranya tidak boleh mendapatka­n ayam kampung. Ia tidak sejuk, ia beku, itu juga tidak buruk. Begitu juga beras, anda masih boleh mendapatka­n beras jenis lain, jika tidak menemui varieti yang anda mahukan,” katanya.

AGENSI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia