Berita Harian

9 ditahan tunjuk perasaan menjelang sidang kemuncak G7

-

Berlin: Sembilan individu ditahan ketika tunjuk perasaan di bandar raya Munich, Jerman pada Sabtu, menjelang sidang kemuncak G7, lapor Sputnik memetik laporan akhbar Suddeutsch­e Zeitung.

Dua pegawai penguat kuasa dan beberapa penunjuk perasaan turut cedera, lapor akhbar itu.

Terdahulu, media Jerman yang memetik polis Munich melaporkan kira-kira 20,000 orang mendaftar untuk menyertai perhimpuna­n pada Sabtu itu, tetapi hanya 4,000 yang hadir dan menurut penganjur kira-kira 6,000 orang turut serta dalam demonstras­i itu.

Bantahan itu dianjurkan kumpulan aktivis iklim yang menuntut pemimpin dunia berusaha lebih keras untuk menghentik­an penggunaan bahan api fosil, memelihara biodiversi­ti, mempromosi­kan keadilan sosial dan memerangi kelaparan.

Sidang kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) akan diadakan di Istana Bavaria Schloss Elmau bermula Ahad hingga Selasa.

G7 terdiri Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Canselor Olaf Scholz, yang akan mempengeru­sikan sidang kemuncak itu selaku Jerman sebagai pengerusi, turut mempelawa Perdana Menteri India, Narendra Modi; pemimpin Argentina, Indonesia, Senegal dan Afrika Selatan untuk menyertai sidang kemuncak berkenaan.

Sementara itu, Presiden Majlis Eropah, Charles Michel dan Presiden Suruhanjay­a Eropah, Ursula von der Leyen serta delegasi organisasi antarabang­sa, termasuk Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) António Guterres akan menyertai sidang kemuncak itu secara maya. BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia