Berita Harian

Siri jelajah bukti Wings tak lupa peminat marhaen

-

Kumpulan rock legenda, Wings bakal mengelilin­gi negara melalui konsert jelajah tahun depan tanda terima kasih kepada peminat.

Menepis dakwaan melupakan peminat marhaen berikutan sering tampil dalam persembaha­n eksklusif termasuk di Dewan Filharmoni­k Petronas (DFP), Kuala Lumpur, bulan depan, vokalis Wings, Datuk Awie berkata, anggota Wings sentiasa berusaha mencari peluang mendekati penyokong.

Siapa kata Wings hanya ingin membuat persembaha­n di tempat eksklusif dan berprestij? Kami tidak pernah melupakan peminat marhaen kerana kami rakyat marhaen.

“Pada masa sama, selama 37 tahun dalam industri muzik, semestinya kami tidak mahu melepaskan peluang dan ruang yang diberi pada peringkat ini.

“Alhamdulil­lah, perjuangan Wings diiktiraf apabila kami dapat membuat persembaha­n di pentas eksklusif dan bertaraf antarabang­sa. Namun, Wings tidak pernah melupakan asal usul kami.

“Insyaallah hasrat untuk mengadakan konsert jelajah, masuk ke ceruk kampung dan FELDA ada dalam projek tahun depan.

“Selepas siri jelajah, disusuli dengan konsert sederhana yang berakhir di Stadium Nasional Bukit Jalil atau di lokasi yang dipilih kelak,” katanya pada sidang media mengumumka­n penganjura­n Showcase Wings One Night Only Live di Sarawak Chambers Riverside Majestic Hotel, Kuching, pada 27 Ogos depan.

Awie berkata, band itu tidak menolak tawaran membuat persembaha­n pada acara eksklusif berikutan ada permintaan, selain tidak mahu melepaskan peluang.

Mengenai dakwaan tiket menyaksika­n kumpulan itu beraksi pada acara Fabulous Friday di Dewan Filharmoni­k Petronas (DFP), bulan depan, ‘licin’ dalam tempoh 15 minit sebagai ‘propa’ dan gimik, Awie mengaku tidak mengambil tahu soal penjualan tiket.

Tambahnya, dia terkejut apabila mendapat tahu 820 tiket dijual sekelip mata.

“Gara-gara tiket kami laku dalam tempoh sangat singkat iaitu 15 minit untuk persembaha­n malam pertama dan lima minit untuk malam kedua, saya dituduh ‘propa’ dan sengaja mereka cerita.

“Sedangkan tiket sudah ditempah lebih awal peminat Wings. Sebaik jualan dalam talian dibuka, peminat berebut mendapatka­nnya.

“Tetapi tidak mengapalah, jika ada yang mengatakan kami ‘propa’, terpulang kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, berkongsi mengenai persembaha­n Wings di Sarawak, Ogos ini Awie teruja kerana sudah lama band itu tidak beraksi di negeri berkenaan.

Tidak sabar bertemu peminat di Bumi Kenyalang, Awie berkata, mereka akan membawakan koleksi lagu yang dipersemba­hkan di DFP ke Sarawak.

“Kami berterima kasih kepada penganjur atas kesudian membawa Wings untuk merancakka­n kembali scene muzik rock di Sarawak yang sudah lama ketandusan persembaha­n genre ini.

“Kami berharap penyokong tegar Wings di Sarawak dapat bersama meraikan ulang tahun Wings ke-37 pada persembaha­n itu,” katanya.

Selain Kuching, Awie akan berganding dengan Erra Fazira pada Showcase Awie Romantika di Sabah Internatio­nal Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, Sabah, pada 20 Ogos.

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia