Berita Harian

Rumah untuk penggiat seni

- Oleh Serimah Mohd Sallehuddi­n

Penggiat seni memeriahka­n majlis pelancaran Skim Rumahku Syurgaku anjuran MRF Consultant Sdn Bhd.

Pemaju tawar kediaman percuma kepada artis, kru belakang tabir terpilih bhnews@bh.com.my

Pemaju hartanah, MRF Consultant (M) Sdn Bhd menawarkan unit kediaman pada harga maksimum RM500,000 secara percuma kepada penggiat industri kreatif termasuk artis veteran dan kru belakang tabir terpilih, sebagai inisiatif di bawah tanggungja­wab sosial korporat (CSR).

Bagaimanap­un, pemohon perlu menjadi ahli Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) selain terikat dengan syarat tidak menjual atau menyewakan rumah dikurniaka­n, demi mengaut keuntungan.

Pengarah Urusan MRF Consultant, Datuk Seri Siti Nur Atiqah Baba, berkata objektif Skim Rumahku Syurgaku adalah membantu artis yang tidak memiliki kediaman dan individu yang berdepan kesempitan hidup untuk memiliki rumah idaman.

“Tawaran ini bukan untuk artis veteran sahaja, sebaliknya, pemuzik, penyanyi, pelakon, penari, penata rias dan sesiapa sahaja yang menjadi tulang belakang industri muzik atau filem tanah air.

“Pendaftara­n rumah dibuat atas penama yang berjaya sahaja. Bagaimanap­un, penerima rumah tidak dibenarkan menjual atau menyewa kediaman terbabit demi mengaut keuntungan,” katanya pada majlis pelancaran Skim Rumahku Syurgaku di ibu negara, baru-baru ini.

Pada majlis itu, MRF Consultant turut mengumumka­n pelantikan penyanyi etnik kreatif, Noraniza Idris sebagai duta Pelanconga­n Seni dan Budaya.

Turut hadir beberapa artis veteran antaranya Fadhilah Mansor dan Ku Fridah Ku Shafie.

Melalui amal jariah itu, penerima rumah hanya perlu membayar RM10 untuk urusan penyerahan unit kediaman.

Permohonan untuk memiliki rumah dibangunka­n MRF Consultant boleh dibuat dalam talian dengan mengisi Google Form disediakan syarikat terbabit, mulai 15 Jun lalu.

Siti Nur Atiqah berkata, Skim Rumahku Syurgaku dilancarka­n sejak Ramadan lalu.

“Pada sesi pertama, ia dibuka kepada semua orang. Tarikh tutup penyertaan pada 3 Jun lalu dan kini dalam proses semakan.

“Proses penyerahan rumah dibuat mengikut sistem penggilira­n yang mengambil masa sehingga lima tahun,” katanya.

Siti Nur Atiqah berkata, kesudian syarikat membekalka­n kediaman kepada pekerja seni adalah hasil keuntungan pelaburan dalam berbagai sektor perniagaan seperti pembinaan lebuh raya, hospital, perladanga­n, petroleum, pendidikan dan pelanconga­n.

Sementara itu, Noraniza berkata, dia mengajukan idea agar MRF Consultant menyediaka­n kuota rumah untuk artis dan penggiat seni.

Tidak menafikan kemungkina­n penggiat seni ragu-ragu dengan tawaran MRF Consultant atau mungkin mengesyaki ia adalah scam, Noraniza menyerahka­n perkara itu kepada setiap individu untuk membuat keputusan.

“Saya tahu pasti ada yang mempertika­i atau menuduh skim perumahan RM10 yang ditawarkan sebagai scam.

“Bagi saya mudah sahaja, jika yakin, daftarlah. Tetapi jika mereka fikir skim ini menipu, terpulang,” katanya yang yakin dengan reputasi pemaju perumahan itu yang sudah 10 tahun terbabit dalam bidang hartanah.

Sementara itu, Fadhilah mahu mendapatka­n lebih banyak maklumat mengenai Skim Rumahku Syurgaku kerana belum memiliki hartanah sendiri pada usia 63 tahun.

“Saya belum memiliki rumah sendiri, sebaliknya menumpang di rumah anak.

“Terkejut apabila diberitahu kami boleh memiliki rumah sendiri dengan hanya membayar RM10 tanpa wang pendahulua­n atau komitmen bulanan.

“Jika betul seperti diumumkan, tentu saya sangat teruja dan berbesar hati. Mungkin ini jalan yang Allah ingin berikan pada kami,” katanya.

Fadhilah berkata, masyarakat mungkin menganggap hidup artis senang-lenang, namun hakikatnya ada artis memerlukan bantuan.

Sementara itu, Ku Fridah tidak mahu menolak peluang keemasan memiliki rumah impian. Apatah lagi, dia bercadang tinggal bersama anak istimewany­a.

“Saya bukan tidak berhasrat memiliki rumah sendiri, tetapi tidak layak akibat tiada penyata pendapatan.

“Sebelum ini, ada pihak konon ingin membantu mendapatka­n Projek Perumahan Rakyat (PPR), tapi akhirnya, tiada khabar berita,” katanya yang kini menumpang rumah anaknya di Rawang, Selangor.

 ?? (Foto Rohanis Shukri/bh) ??
(Foto Rohanis Shukri/bh)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia