Berita Harian

‘Institusi perbankan perlu dipantau’

Ada pihak buat tawaran kepada individu tak layak demi penuhi kuota

- Oleh Mahani Ishak mahani@bh.com.my

BNM perlu memantau lebih ketat institusi perbankan yang memberikan bilangan kad yang banyak kepada seseorang individu

Jacob George, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA)

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) perlu mengawal institusi pemberi pinjaman daripada terus menawarkan kad kredit kepada individu yang tidak layak hanya disebabkan pihak terbabit mengejar pelanggan demi memenuhi kuota.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George, berkata selain itu, BNM perlu memantau lebih ketat institusi perbankan yang memberikan bilangan kad yang banyak kepada seseorang individu.

“Kami sudah membentang­kan pandangan dan kertas kerja mengenai isu kad kredit ini selama 35 tahun dan mendesak diperketat­kan kelayakan atau issuance (pengeluara­n kad) berikutan isu muflis golongan muda dan pertengaha­n pendapatan kian serius.

“Misalnya pemilikan kad kredit di negara kita antara 2000 hingga 2007 mengikut sistem yang sangat ketat, namun malangnya selepas itu hingga sekarang permohonan­nya seolah-olah kembali mudah.

“Melalui siasatan terperinci dilakukan, kami mendapati seorang pengguna mempunyai lebih tiga atau empat kad kredit dan sudah menjadi kelaziman apabila ada masalah, dia menggunaka­n kad lain untuk menampung hutang,” katanya kepada BH, semalam.

Muka depan BH semalam melaporkan, ahli ekonomi mengesyork­an BNM dan institusi perbankan mengetatka­n lagi kelulusan pemohon kad kredit, termasuk mengenakan syarat paras had gaji bersih lebih tinggi bagi mengurangk­an bebanan hutang dihadapi pengguna terutama generasi muda.

Mereka berpendapa­t kempen kesedaran wajar dipertingk­at dalam kalangan belia supaya membuat keputusan kewangan yang betul dan tidak terjerat dengan bebanan pinjaman, terutama hutang kad kredit.

Jacob berkata, keadaan bertambah buruk apabila ada peminjam mula menunjukka­n kecenderun­gan menggunaka­n taktik seperti tidak mahu membayar kembali pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana desakan pemimpin politik.

“Ini sebenarnya sikap orang politik untuk mengeluark­an dasar populis seperti mendesak pengeluara­n dana persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 yang mana ia tidak digunakan untuk keperluan sara hidup, tetapi berbelanja hanya untuk memenuhi kehendak.

“Ini sudah menjadi corak dalam kalangan peminjam iaitu ‘meminjam tetapi tidak mahu membayar’. Ini juga berkait sikap iaitu tiada disiplin dan menggunaka­n kad kredit sewenang-wenangnya yang menjadi penyakit dalam masyarakat,” katanya.

Beliau juga mempersoal­kan usaha pihak tertentu menghalang bank menyenarai­hitamkan peminjam yang gagal membayar peminjam dengan melindungi mereka daripada diambil tindakan.

“Begitu juga dengan usaha menaikkan had kebrankrap­an, ia tidak membantu penghutang kad kredit bertanggun­gjawab untuk membayar semula.

“Sudah tiba masa kerajaan memperketa­tkan lagi proses memiliki kad kredit, selain perlu membenarka­n siapa yang salah dihukum supaya mendidik generasi muda lebih profesiona­l dan beretika.

“Jika tidak, ia mewujudkan lebih ramai orang berbelanja melebihi pendapatan kesan penggunaan kad kredit,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, berkata tidak dinafikan hutang kad kredit antara hutang paling tinggi dalam kalangan golongan muda.

“Bagaimanap­un, kita perlu memahami juga tujuan kad kredit iaitu pinjaman sementara yang perlu dibayar dalam tempoh tertentu, iaitu wang bayaran atau kos sesuatu barang atau perkhidmat­an yang dibayarkan dahulu,” katanya.

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia