Berita Harian

PH minta kaji semula tarik subsidi barangan makanan

- Oleh Mahani Ishak mahani@bh.com.my

Jawatankua­sa cadang kerajaan tangguh projek mega, tidak untungkan rakyat

Kuala Lumpur: Jawatankua­sa Kos Sara Hidup Pakatan Harapan (PH) mendesak kerajaan mempertimb­angkan semula keputusan menarik balik subsidi untuk barang makanan yang akan berkuat kuasa Jumaat ini.

Dalam satu kenyataan semalam, jawatankua­sa itu menegaskan, pihaknya memandang serius penarikan subsidi berkenaan yang boleh melebarkan jurang kemiskinan sedia ada, menambah masalah sosial dalam kalangan rakyat serta bakal menaikkan kadar inflasi.

“Kenaikan harga barang akan menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup rakyat, terutama golongan B40. Kami mahu kerajaan tingkatkan subsidi keperluan makanan rakyat dengan kekalkan harga siling ayam dan telur ayam serta tambah subsidi kepada penternak dan pengusaha mengikut keadaan semasa.

“Langkah itu agar bekalan dalam negara kekal tanpa menghadapi masalah bekalan terputus. Selain itu, subsidi minyak masak botol juga perlu dikekalkan dan kerajaan mesti tetapkan mekanisme kawalan pembelian kepada semua rakyat agar bekalan tidak terputus pada masa depan,” kata jawatankua­sa itu.

Kenyataan ditandatan­gani ahli jawatankua­sa mewakili DAP, iaitu Ahli Parlimen Stampin, Chong Ching Jen; Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar; Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin dan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin.

Mewakili Parti Amanah Negara (AMANAH) adalah Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris dan bekas ADUN Maharani, Norhayati Bachok, manakala PKR diwakili Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Mereka turut mendesak subsidi gas masak ‘slider’ (tong gas) dikekalkan, harga RON95 tidak diapungkan, manakala tarif air dan elektrik dihalang daripada dinaikkan demi kesejahter­aan semua pihak.

Jawatankua­sa itu bakal membawa beberapa cadangan kepada Majlis Presiden PH dan meminta rakyat bersama-sama melancarka­n protes besar-besaran di 222 kawasan Parlimen atas dakwaan kegagalan kerajaan membendung kenaikan kos sara hidup.

Mereka turut mengemukak­an beberapa cadangan, antaranya penggunaan hasil cukai secara bersasar dan berkesan bagi membantu rakyat seperti Cukai Makmur yang diumumkan kerajaan ketika pembentang­an belanjawan lalu yang hasilnya mesti dikembalik­an kepada rakyat.

Syor lain, kerajaan menangguhk­an projek mega dan tidak menguntung­kan rakyat dalam jangka pendek dan panjang, antaranya Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3), Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Bandar Malaysia (Tr-exchange) dan lain-lain.

Jawatankua­sa berkenaan juga meminta kerajaan mengkaji semula semua elaun ketua pegawai eksekutif dan ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan mengecilka­n anggota Kabinet semasa.

“Selain itu, tamatkan jawatan duta khas ke luar negara seperti Duta Khas ke India, China, Amerika Syarikat dan Timur Tengah serta memotong elaun perdana menteri, menteri dan timbalan menteri serta memulangka­nnya kepada rakyat,” katanya.

Pada 22 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan memutuskan untuk menghentik­an penyaluran RM700 juta subsidi untuk menstabilk­an harga ayam dan telur ayam kerana mendapati ia tidak mencapai hasrat seperti dikehendak­i.

Perdana Menteri juga menafikan dakwaan kerajaan memansuhka­n subsidi minyak masak secara keseluruha­n, sebaliknya hanya subsidi sementara yang bermula Ogos 2021 untuk membantu rakyat terkesan akibat COVID-19, merangkumi minyak masak botol 1 hingga 5 kilogram (kg).

Terdahulu, Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumka­n pemansuhan subsidi minyak masak tulen botol berkapasit­i dua hingga lima kilogram, bermula 1 Julai.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia