Berita Harian

Elak buat andaian tindakan parti tanpa asas kukuh

-

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dinasihatk­an tidak menimbulka­n suasana tidak tenteram dalam UMNO dengan membuat andaian berkaitan tindakan diambil parti tanpa asas kukuh dan tepat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata sebagai ahli dan pemimpin parti, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia harus menjadi pemimpin yang bertanggun­gjawab.

“Jika kita mahu orang menghormat­i kita, maka kita juga mesti menghormat­i orang lain. UMNO parti yang sudah begitu lama di negara ini dan kekuatan serta imej parti bergantung kepada kita (ahli dan pemimpin).

“Tidak perlu kita lakukan sesuatu yang merosakkan parti kerana tiada orang lain yang akan menjaga parti kita, melainkan kita sendiri,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Annuar sebelum ini dilapor berkata, tindakan menggugurk­an ahli MKT UMNO sebelum tamat penggal perkhidmat­an akan hanya membawa parti ke arah krisis dan perpecahan.

Kenyataan itu merujuk penyingkir­an Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai ahli MKT pada 21 Jun lalu.

Selain itu, Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO turut memaklumka­n beberapa nama lagi bakal dipecat sebagai ahli MKT, namun tidak memperinci­kannya.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, sebagai ahli dan pemimpin tanpa mengira kedudukan, menjadi suatu kewajipan untuk menjaga parti.

Mengulas isu sama, Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, menafikan spekulasi berhubung perpecahan dalam UMNO

“Apa-apa keputusan hanya akan keluar secara rasmi dan janganlah percaya manipulasi pihak tertentu yang sengaja nak pecah-belahkan kesepakata­n dalam UMNO.

“Ingatlah dahulu kita tumbang kerana fitnah dan macam-macam spekulasi bertebaran,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahka­n Tajuddin digugurkan daripada MKT UMNO susulan surat mengenai keputusan berkenaan bertarikh 21 Jun lalu yang tular.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menjelaska­n sikap dan pendirian Tajuddin yang bercanggah dengan parti antara punca beliau digugurkan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia