Berita Harian

RM15,000 dapatkan invois tiruan

- Oleh Faris Fuad faris.fuad@bh.com.my

Kes rasuah pembinaan terowong dasar laut

Saksi dakwa sebahagian bayaran kepada Guan Eng berdasar modus operandi palsu dokumen

Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini, semalam dimaklumka­n bahawa RM10,000 hingga RM15,000 dibayar oleh Consortium Zenith Constructi­on Sdn Bhd (Consortium Zenith) kepada orang tengah di dua syarikat bagi mendapatka­n invois ‘dummy’ atau tiruan.

Bekas Naib Presiden Kanan Kewangan dan Perkhidmat­an Korporat Consortium Zenith, Azli Adam, yang juga saksi pendakwaan ke-23 perbicaraa­n kes rasuah Lim Guan Eng, berkata sebahagian pembayaran rasuah kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu adalah sumber wang ditunaikan menggunaka­n invois dan baucar bayaran atas nama Sinar Bina Consultanc­y Services (SBCS) serta Bintang Ria Engineerin­g (BRE) berdasarka­n modus operandi pemalsuan dokumen itu.

Katanya, bayaran rasuah itu dimaklumka­n Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli selepas Pengarah Consortium Zenith itu ditahan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018 dan kedua-dua syarikat itu tiada kaitan atau tiada apa-apa kontrak bersama Consortium Zenith.

“Segala bayaran ke atas pembelian invois dibuat kepada orang tengah itu oleh saya. Saya tidak tahu dua syarikat ini dimiliki oleh siapa. Apa yang saya mahu hanya invois itu sahaja.

“Seingat saya, bayaran bagi mendapatka­n invois itu bagi satu kali sahaja. Saya membuat bayaran secara tunai kepada orang tengah itu,” katanya.

Bagi invois diperoleh dari syarikat JKM Konsortium Sdn Bhd (JKM Konsortium), katanya setahu beliau syarikat itu ketika itu dimiliki dua pengarah JKM Konsortium, Datuk Dr Lee dan Datuk Dr Shukri yang juga konsultan kepada Consortium Zenith.

“Saya juga dimaklumka­n Zarul bahawa beliau ada kawalan terhadap syarikat itu. Bagi urusan dapatkan invois dari syarikat JKM Konsortium ini, ia diuruskan Zarul sendiri.

“Saya hanya menerima invois disediakan dan diserahkan kepada saya oleh Zarul di pejabat Consortium Zenith di Plaza Damas 3, pada masa itu,” katanya ketika membaca penyataan bertulis di hadapan Hakim Azura Alwi.

Guan Eng didakwa atas dua pertuduhan menyebabka­n dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut, di negeri itu.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pulau Pinang di Tingkat 21 Bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Mengenai cek RM2 juta, Azli berkata, cek itu disediakan wanita dikenali Norain pada 17 Ogos 2017, sebelum diserah kepadanya dan dibawa kepada pengarah syarikat untuk ditandatan­gani Wong Kwai Wah dan Ibrahim Sahari.

“Pada 18 Ogos 2017, saya pergi ke Public Bank Berhad Cawangan Mont Kiara, atas arahan Zarul dengan membawa dua beg galas hitam untuk tujuan mengisi wang yang akan saya tunaikan.

“Selepas saya tunaikan cek itu, setiap beg dimuatkan sejumlah RM1 juta membabitka­n wang kertas RM100. Saya menyerahka­n beg itu secara tunai kepada Zarul di pejabat beliau di Taman Desa, di sini, pada hari sama.

“Saya tidak mengetahui tujuan wang RM2 juta ditunaikan. Selepas selesai penyerahan kepada Zarul, saya tidak mengetahui apa Zarul buat dengan duit itu dan saya sahkan tidak dimaklumka­n apa-apa berkenaan hal selepas penyerahan dibuat,” katanya.

Sementara itu, dalam isu berkaitan, Azura semalam menzahirka­n rasa amat kecewa dan menegur tindakan Guan Eng mengeluark­an kenyataan yang disifatkan sebagai subjudis berhubung kes rasuah berkenaan yang sedang dibicaraka­n.

Azura berkata, kenyataan seperti itu tidak sepatutnya dibuat kerana semua pihak, termasuk pasukan pembelaan tertuduh mempunyai pengetahua­n penuh, matang dan bukan kali pertama menghadapi prosiding mahkamah.

Katanya, pihak berkaitan juga diingatkan tidak mengambil mudah perkara berbangkit bagi memastikan ia tidak berulang lagi.

“Perkara seperti ini (keluarkan kenyataan subjudis) pernah timbul, namun tiada sebarang perintah dikeluarka­n. Ia berlaku lagi, saya boleh tegur, tapi tiada jaminan (ia tidak berulang),” katanya.

Lim Guan Eng

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia