Berita Harian

Tindakan Tajuddin jadi peluru buat pihak lawan

-

Kuala Lumpur: Tindakan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membuat pelbagai dakwaan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hanya mengundang perpecahan dalam parti yang sudah berada di landasan betul mewujudkan kesepakata­n antara kepemimpin­an parti menuju pilihan raya umum akan datang.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, berkata tindakan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu juga hanya akan menjadi peluru buat pihak lawan bagi menyerang UMNO.

Katanya, melalui kepemimpin­an Ahmad Zahid sebagai presiden dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, UMNO sepatutnya berada di ambang kemenangan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan tidak seharusnya digugat dengan dakwaan seperti itu.

“Parti ini (UMNO) sepatutnya di ambang kemenangan... takkanlah kita nak mengundang kekalahan dengan perpecahan... pilih kesepakata­n, pilih kestabilan.

“Sudah tentu yang paling gembira mendengar dakwaan ini adalah pihak lawan... segala dakwaan ini menjadi peluru untuk terus menyerang UMNO.

“Naratif lawan akan jadi mudah, bagaimana UMNO hendak jual kestabilan kalau dalam UMNO sendiri tak berpadu?” katanya dalam kenyataan mengulas pelbagai dakwaan dibuat Tajuddin terhadap Ahmad Zahid, kelmarin.

Pada sidang khas itu, Tajuddin yang digugurkan sebagai ahli MKT minggu lalu turut menggesa Ahmad Zahid melepaskan jawatannya sebagai presiden secara terhormat demi kepentinga­n parti.

Tajuddin yang dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia baru-baru ini turut mendedahka­n Ahmad Zahid pernah mengetuai usaha mendapatka­n sokongan dalam bentuk akuan bersumpah (SD) dalam kalangan Ahli Parlimen UMNO bagi melantik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Shahril berkata, pemilihan Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO perlu dihormati kerana beliau menang secara bertanding.

“Kita menyangkal dakwaan bahawa presiden lemah dan liabiliti kepada parti sedangkan UMNO mencapai pelbagai kejayaan, termasuk memenangi tujuh pilihan raya kecil di bawah kepimpinan Ahmad Zahid.

“Ada juga pihak kata Perdana Menteri lemah... sedangkan beliau sedang sibuk sehabis baik mengurus negara dalam keadaan ekonomi dan politik cukup mencabar.

“PAU (Perhimpuna­n Agung UMNO), PAU Khas, Konvensyen BN (Barisan Nasional) sudah menampakka­n kesepakata­n untuk menuju pilihan raya umum.

“Parti juga sudah buat ketetapan bahawa presiden dan timbalan jaga parti, Perdana Menteri jaga kerajaan... bergerak seiring.

“Pemilihan (parti) selepas PRU... tarikh PRU-15 ‘top 5’ bincang, bawa ke MKT, kemudian ‘on’ (jadi). Tak perlu gaduh, atau syak wasangka. Kalau boleh berpegang kepada semua ini, ahli tenang, UMNO menang,” katanya.

 ?? ?? Keratan akhbar BH, semalam.
Keratan akhbar BH, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia