Berita Harian

Pendedahan ibarat ‘masuk bakul angkat sendiri’

-

Kuala Lumpur: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, mendakwa pendedahan oleh Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman berhubung gerakan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ibarat ‘masuk bakul angkat sendiri’ kerana banyak fakta diputarbel­itkan.

Speaker DUN Johor itu berkata, ramai orang tahu banyak pertemuan dianjur Tajuddin yang baru digugurkan sebagai ahli MKT itu di kediamanny­a.

“Kenapa pusing 200 darjah? Dia fobia apabila disiasat Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ramai saksi hidup.

“Legasi kepahlawan­an Pasir Salak memang hebat. Malangnya saksi hidup Pasir Salak moden cepat cair,” katanya menerusi perkongsia­n di Facebook, semalam.

Tajuddin pada sidang media khas kelmarin mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan secara terhormat kerana tidak layak memimpin parti.

Tajuddin yang digugurkan daripada jawatan ahli MKT UMNO minggu lalu juga mendakwa, Ahmad Zahid sebenarnya mengepalai gerakan menandatan­gani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Anwar sebagai Presiden PKR untuk diangkat sebagai Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Mohd Puad turut menyelar Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berhubung isu pendedahan dibuat Tajuddin.

“Suka Annuar Musa dengan sidang media Tajuddin. Dia paling aktif ‘viral dan share’ (tular dan kongsi) laporan media, terutama portal terhadap sidang media Tajuddin semalam (kelmarin).

“Pada Annuar, itu bola tanggung untuk ‘smash’ UMNO. Annuar kata tindakan terhadap Tajuddin akan timbulkan krisis. Memang Annuar mahu begitu. Sebab itu dia viral dan share,” katanya.

Dalam perkembang­an sama, UMNO Bahagian Besut berpendapa­t Ahmad Zahid tidak perlu melepaskan jawatan dan mengikut kehendak pemimpin yang kecewa, sebaliknya terus menerajui parti sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Nawi Mohamad, pula berkata desakan supaya Ahmad Zahid berundur diri secara terhormat adalah kenyataan kecewa daripada seorang pemimpin yang digugurkan daripada jawatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia