Berita Harian

Imigresen nafi laporan kematian, layanan buruk tahanan Indonesia

- Oleh Ilah Hafiz Aziz ilahhafiz.abdulaziz@bh.com.my

Pengurusan depot di Malaysia tepati piawaian peraturan Bangsa-bangsa Bersatu

Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen menafikan kenyataan beberapa laporan antarabang­sa berhubung kematian dan layanan buruk terhadap tahanan warga Indonesia di Depot Tahanan Imigresen di Tawau, Sabah.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata Kerajaan Malaysia memberikan layanan baik kepada semua tahanan dalam depot Imigresen, termasuk dari Indonesia.

Katanya, pengurusan depot imigresen di seluruh negara juga menepati piawaian Peraturan Minimum Standard Bangsa-bangsa Bersatu bagi Tahanan (The Nelson Mandela Rules).

“Rawatan kesihatan awal diberikan Penolong Pegawai Kesihatan daripada Kementeria­n Kesihatan yang ditempatka­n secara kader di semua depot imigresen di negara ini.

“Kes kesihatan serius akan dibawa terus ke hospital kerajaan berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mengenai tuduhan yang dilemparka­n, Khairul Dzaimee berkata, jumlah tahanan Indonesia yang meninggal dunia di depot Imigresen Sabah seramai 18 orang pada 2021 dan enam orang tahun ini.

“Mereka meninggal dunia ketika dirawat di hospital kerana menghidap pelbagai penyakit seperti

masalah jantung, buah pinggang, COVID-19 dan paru-paru berair.

“Kita mempunyai prosedur tetap dalam menguruska­n kematian tahanan, termasuk laporan polis oleh pegawai bertugas apabila berlaku kematian dan pihak hospital akan mengeluark­an laporan perubatan menjelaska­n punca kematian serta pengesahan kematian pula dibuat oleh Hakim Koroner.

“Sekiranya kematian tahanan berpunca daripada salah laku pegawai bertugas, mereka boleh dikesan dengan mudah dan siasatan sewajarnya akan dilaksanak­an mengikut undang-undang,” katanya.

Memetik kumpulan pejuang kebajikan pekerja buruh Indonesia, Koalisi Buruh Migran Berdaulat yang mendedahka­n mengenai laporan Seperti di Neraka: Kondisi Pusat Tahanan Imigrasi

di Sabah Malaysia.

Kumpulan itu menyediaka­n laporan selepas menemubual lebih 100 bekas tahanan warga Indonesia yang dihantar pulang ke negara asal mereka.

Bekas tahanan yang ditemubual juga mendakwa depot tahanan Imigresen di Tawau tidak selesa apabila pada satu-satu masa melebihi kapasiti, selain tandas yang kotor dan terpaksa tidur di atas papan lapis.

Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam satu kenyataan di Twitter, memohon maaf berhubung satu keterangan disiarkan di media Indonesia pada 27 Jun lalu dan memaklumka­n 149 individu yang meninggal dunia bukan terdiri tahanan negara itu saja, sebaliknya keseluruha­n warga asing.

Wakil Kementeria­n Luar ketika dihubungi BH berkata, satu sidang media akan diadakan dalam masa terdekat berhubung perkara itu.

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia