SENAM KUAT PINGGANG, BELAKANG BADAN
UNTUK mendapatkan kesan kepada bahagian bawah belakang badan, senaman lantai seperti back extension sesuai untuk menguat dan meregangkan bahagian terbabit.
Sehubungan itu, senaman ini adalah pilihan terbaik bagi golongan warga emas yang ingin memastikan kekuatan dan ketahanan di sekitar pinggang serta bahagian bawah belakang badan.
Senaman ini begitu mudah untuk dilakukan dan boleh dilakukan di mana-mana tanpa memerlukan sebarang peralatan kecuali tikar senaman.
Antara otot yang mendapat manfaat daripada senaman ini ialah erector spinae. Apabila bahagian belakang bawah belakang badan menjadi lebih mantap, ia dapat memberi sokongan kepada bahagian atas badan dan memudahkan apa saja aktiviti yang anda lakukan.
Bukan itu saja, bahagian bawah belakang badan yang kuat juga dapat mengelak daripada kesakitan pada bahagian berkenaan selain mengurangkan rasa senak dan kelesuan otot yang mungkin berlaku kerana terlalu banyak duduk.
Bagaimanapun, mereka yang mengalami masalah atau kecederaan di bahagian ini tidak digalakkan melakukannya. Dapatkan nasihat doktor sebelum melakukan sebarang aktiviti senaman.
1 Baring di atas tikar senaman dengan bahagian perut anda berada di atas permukaan tikar. Pastikan keduadua belah tangan anda berada di sisi dan kaki diluruskan seperti yang ditunjukkan dalam gambar.
2 Secara perlahan-lahan, tarik nafas dan angkat bahagian atas badan anda menggunakan otot bahagian bawah belakang badan dari bahagian torso sehingga ke bahagian paling atas yang mampu anda lakukan. Lazimnya, seseorang dapat mengangkat badan kira-kira 45 darjah daripada permukaan tikar senaman. Angkat bahan atas badan anda setinggi yang mampu tapi masih dalam keadaan yang selesa dan mendapat manfaat yang diinginkan.
3 Pastikan anda regangkan bahagian punggung ketika mengangkat bahagian atas badan ke atas dan beri tumpuan kepada bahagian bawah belakang badan. Tahan posisi ini selama kira-kira tiga saat.
Kemudian, turunkan semula badan anda perlahan-lahan merapati permukaan tikar senaman dan hembus nafas. Ulang pergerakan ini lapan hingga 10 kali dalam dua hingga tiga set.
Berikut beberapa panduan yang boleh diikuti bagi mengurangkan sakit belakang untuk sementara waktu • Berehat di atas tilam yang lembut dan selesa bagi mengurangkan kesakitan. • Gunakan ubat penahan sakit bagi mengurangkan kesakitan bagi jangka masa pendek.
• Urut dengan lembut pada bahagian yang sakit dengan menggunakan minyak urut misalnya ubat gamat dapat membantu mengurangkan kesakitan untuk tempoh masa yang pendek.
• Latihan fizikal seperti senaman asas boleh dilakukan untuk menenangkan tubuh badan yang sakit dan menguatkan bahagian otot serta menyokong bahagian tulang belakang.