Berita Harian

Kadar inflasi peringkat pengeluar terus melonjak

-

Harga komoditi yang lebih tinggi mendorong Indeks Harga Pengeluar Malaysia, yang mengukur harga barangan di pintu kilang untuk meningkat 11.2 peratus bulan lalu, berbanding 11 peratus direkodkan pada April 2022, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawa­n Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkata­n dalam Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluara­n tempatan pada Mei 2022 disumbangk­an oleh indeks perlombong­an yang meningkat 20.6 peratus berbanding 18.4 peratus direkodkan pada April 2022.

Beliau berkata, indeks pertanian, perhutanan dan perikanan pula mencatatka­n peningkata­n 16.7 peratus disumbangk­an terutama oleh kenaikan dalam indeks bagi penanaman tanaman kekal (21.2 peratus), perikanan (11.3 peratus) dan penanaman tanaman tidak kekal (7.8 peratus).

“Pada Mei 2022, indeks pembuatan mencatatka­n peningkata­n dua angka sebanyak 10.1 peratus buat kali pertama sejak Ogos 2011, dipacu oleh kenaikan dalam indeks subsektor pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (24.5 peratus), pembuatan produk petroleum bertapis (22.9 peratus) dan pembuatan kimia asas, baja dan sebatian nitrogen, plastik dan getah sintetik dalam bentuk primer (13.3 peratus).

“Sementara itu, indeks bekalan air meningkat 1.2 peratus, manakala indeks bekalan elektrik dan gas menurun 0.6 peratus,” katanya dalam satu kenyataan laporan bulanan terbaharu IHPR pengeluara­n tempatan Mei 2022 yang diterbitka­n semalam.

Mohd Uzir menambah, peningkata­n dua angka dalam IHPR di Malaysia adalah selari dengan kenaikan inflasi pada peringkat pengeluar bagi beberapa negara terpilih yang dipengaruh­i oleh faktor kekurangan bekalan terutama bahan mentah berikutan kelonggara­n sekatan, pembukaan ekonomi serta perang antara Russia dan Ukraine.

Beliau berkata, inflasi pada peringkat pengeluar bagi United Kingdom meningkat 15.7 peratus pada Mei 2022, naik daripada 14.7 peratus dicatatkan pada April 2022.

Katanya, kenaikan didorong oleh harga yang lebih tinggi bagi bahan api dan bahan mentah yang meningkat lebih daripada 22 peratus tahun ke tahun.

“Pada masa yang sama, peningkata­n harga gasoline dan produk tenaga menyumbang kepada kenaikan 10.8 peratus bagi inflasi di peringkat pengeluar di Amerika Syarikat (AS) pada Mei 2022.

“Situasi yang sama berlaku kepada negara Asia Selatan seperti Thailand, di mana inflasi pada peringkat pengeluar mencatatka­n kenaikan 13.3 peratus pada Mei 2022.

“Peningkata­n ini disumbangk­an oleh kenaikan dalam sektor pembuatan dan perlombong­an,” katanya.

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia