Berita Harian

Dos penggalak untuk remaja, lemah daya tahan pelengkap vaksinasi primer

-

Kuala Lumpur: Panel Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) mengesyork­an dos penggalak bagi individu dengan sistem pertahanan badan berkadar teruk atau sederhana berusia antara 12 hingga 17 tahun dikategori­kan semula sebagai dos ketiga dan menjadi pelengkap kepada vaksinasi primer.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata keputusan itu mengambil kira situasi semasa tahap keberkesan­an vaksin dalam kalangan remaja yang berisiko tinggi.

“Hanya selepas melengkapk­an vaksinasi primer tiga dos, barulah dos penggalak pertama boleh diberi kepada individu dengan sistem pertahanan badan berkadar teruk atau sederhana berumur 12 hingga 17 tahun.

“Langkah ini bertujuan memberi perlindung­an optimum kepada kumpulan remaja ini daripada risiko mendapat jangkitan COVID-19 dengan gejala yang teruk,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Pada 14 April lalu, Kementeria­n Kesihatan (KKM) mengumumka­n pemberian dos penggalak kepada individu dengan sistem pertahanan badan berkadar teruk atau sederhana berumur 12 tahun dan ke atas.

Khairy berkata, pemberian dos tambahan vaksin COVID-19 sama ada untuk melengkap vaksinasi dos primer tiga dos atau sebagai dos penggalak pertama dan kedua akan dilaksanak­an menerusi beberapa prosedur.

“Pertama, pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 untuk melengkapk­an vaksinasi primer tiga dos kepada individu berumur lima hingga 11 tahun yang berisiko tinggi dengan beberapa kriteria kelayakan.

“Ini termasuk individu berumur lima hingga 11 tahun dalam kategori sistem pertahanan badan berkadar teruk dan sederhana yang disahkan oleh pakar perubatan kerajaan dan swasta.

“Suntikan diberikan mestilah sekurang-kurangnya lapan minggu selepas menerima dos kedua,” katanya.

Beliau berkata, kriteria kelayakan bagi penerima dos ketiga mestilah individu berumur lima hingga 12 tahun dalam kategori sistem pertahanan badan berkadar teruk dan sederhana yang disahkan oleh pakar perubatan kerajaan dan swasta, dengan suntikan diberi sekurang-kurangnya 28 hari selepas menerima dos kedua.

Katanya, bagi pemberian dos penggalak pertama kepada individu berusia 12 hingga 17 tahun yang berisiko tinggi dan telah menerima vaksin primer tiga dos lengkap, ia mesti disahkan oleh pakar perubatan kerajaan dan swasta dengan suntikan diberi sekurang-kurangnya tiga bulan selepas vaksinasi lengkap tiga dos primer.

Sementara itu, Khairy berkata, pemberian dos penggalak kedua kepada individu berisiko tinggi berumur 18 hingga 59 tahun dan petugas kesihatan barisan hadapan perlu memenuhi tiga kriteria ditetapkan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia