Berita Harian

Hanya 2 waris lengkap vaksin boleh urus jenazah mangsa COVID-19

-

Putrajaya: Dua waris dengan status vaksinasi lengkap kini dibenarkan untuk turut serta dalam proses pengendali­an jenazah yang dijangkiti COVID-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata waris berkenaan perlu memakai alat pelindung diri (PPE) dan perlu ditemani pengendali jenazah terlatih di hospital.

“Kementeria­n Kesihatan (KKM) memaklumka­n tatacara pengurusan jenazah Islam dan bukan Islam yang dijangkiti COVID-19 sudah disemak semula supaya ia relevan dengan situasi semasa.

“Semakan semula ini sejajar dengan Resolusi Mesyuarat Khas Jawatankua­sa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ketiga Tahun 2021 yang bersidang pada 26 Julai 2021.

“Antara pindaan tatacara dalam pengurusan jenazah Islam dijangkiti COVID-19 ialah dibenarkan untuk dimandi dan dikapankan dengan mengikuti amalan langkah berjaga-jaga seperti urusan mandi serta kapan dilakukan pengendali jenazah terlatih di hospital dengan pemakaian PPE lengkap dan bersesuaia­n.

“Hanya dua waris dengan status vaksinasi lengkap serta memakai PPE yang lengkap dan bersesuaia­n dibenarkan turut serta dalam urusan memandikan dan mengapanka­n jenazah bersama pengendali jenazah yang terlatih di hospital.

“Selain itu, perlu elakkan aktiviti berunsur aerosol generating procedure (AGP) ke atas jenazah seperti menekan perut jenazah,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sebelum ini, ahli keluarga tidak dibenarkan untuk mengurus jenazah di rumah atau tempat lain sebaliknya jenazah akan diuruskan sepenuhnya di hospital.

Hanya seorang ahli keluarga dibenarkan untuk mengenal pasti jenazah dengan penjarakan satu meter dengan memakai PPE dan tidak dibenarkan sama sekali mencium serta menyentuh jenazah.

Semua jenazah pesakit COVID-19 dibalut sehelai linen putih dan dua lapisan beg mayat.

Lapisan paling luar beg mayat akan disanitasi dengan 0.5 peratus sodium hypochlori­te.

Ahli keluarga dilarang membuka beg mayat atau keranda yang ditutup.

Bagi jenazah bukan Islam, sekiranya terdapat upacara ritual, prosedur perlu dilakukan seminimum mungkin dan dilakukan di lapisan paling luar beg mayat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia