Berita Harian

Semua pihak kena akur, tak ambil kesempatan

-

Kuala Lumpur: Semua pihak yang berada dalam rantaian bekalan, diharap akur dan tidak lagi mengambil kesempatan susulan keputusan kerajaan menetapkan paras baharu harga siling runcit ayam standard pada kadar RM9.40 sekilogram bermula Jumaat ini.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin, berkata penetapan harga siling adalah lebih baik, berbanding cadangan pengapunga­n harga yang dikhuatiri boleh dimanipula­si pihak tertentu.

“Keputusan kerajaan ini dialu-alukan kerana harga ditetapkan itu berpatutan, sekurang-kurangnya adanya paras siling, pihak terbabit dalam rantaian bekalan tidak mengambil kesempatan.

“Pihak pembekal jangan pula letak harga RM9.40, nanti berapa pula harga pada peringkat peniaga, kita tidak mahu mereka terpaksa jual lebih tinggi daripada harga siling hingga akhirnya nanti isu sama berulang,” katanya kepada BH semalam.

Susulan penetapan paras siling baharu itu, Nur Asyikin berharap peniaga menghentik­an perbuatan mengenakan caj tidak masuk akal termasuk pemotongan ayam.

“Caj perkhidmat­an seperti ini perlu dihentikan sebab sebelum ini tidak pernah ada. Begitu juga potongan bahagian ayam, kita minta peniaga tidak lagi meletak harga sesuka hati. Ini tidak sepatutnya berlaku, tiada sebab untuk ambil untung atas angin lagi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden

Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia, Beninder Singh, berkata pihaknya berharap segala aspek rantaian bekalan diambil kira sebelum penetapan harga diputuskan.

“Kami pasti kerajaan melakukan analisis kos terperinci sebelum membuat pengumuman harga baharu kawalan ayam ini.

“Diharapkan agar segala aspek rantaian bekalan sudah diambil kira kerana adalah penting untuk kita wujudkan ekosistem yang harmoni di antara peniaga dan pengguna. Tidak boleh sebelah pihak untung dan satu lagi rugi,” katanya.

Beliau juga berharap pemantauan berterusan dilaksana penguat kuasa dalam memastikan bahawa harga kawalan ini betul-betul diguna pakai.

“Tiada gunanya memperkena­lkan harga kawalan tetapi tiada pematuhan di pihak peniaga. Juga diharapkan agar tanda harga dipaparkan dengan jelas di setiap premis, selain memastikan bekalan tidak terputus,” katanya.

Sementara itu Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow, berharap susulan harga baharu itu, tiada lagi caj pemotongan ayam oleh peniaga yang sebelum ini mengambil kesempatan mengenakan caj hingga RM2 untuk perkhidmat­an itu.

 ?? ?? Nur Asyikin Aminuddin
Nur Asyikin Aminuddin

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia