Berita Harian

Tiada krisis dalaman parti susulan pendedahan bekas MKT

-

Kuala Lumpur: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menolak dakwaan bahawa UMNO mengalami krisis dalaman susulan beberapa pendedahan yang dibuat bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata, UMNO tidak akan berpecah hanya disebabkan isu penyingkir­an Tajuddin, minggu lalu.

Beliau berkata, adalah jelas bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berperanan menjaga dan mentadbir kerajaan, manakala Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menjaga parti.

“Tiada krisis spt (seperti) yg (yang) dihebohkan. PM jaga kjaan (kerajaan) & DS @Drzahidham­idi jaga parti. UMNO tidak akan berpecah sbb (sebab) isu DS Tajuddin. Biarlah beliau (Tajuddin) tumpu sbg (sebagai) Duta Besar,” tulisnya dalam hantaran di Twitternya, semalam.

Ahmad juga berkata, seperti diulangi oleh Ahmad Zahid pada mesyuarat MKT yang berlangsun­g malam Ahad lalu, Ismail Sabri akan menjadi ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

“Presiden #UMNO ulangi dlm (dalam) Mesyuarat MKT pd (pada) 24/6/22 bahawa calon PM / “poster boy” utk (untuk) #PRU15 adalah DSIS @Ismailsabr­i60.

Hantaran Ahmad merujuk kepada laporan media mengenai tindakan Tajuddin yang membuat pelbagai dakwaan terhadap Presiden UMNO kelmarin, yang disifatkan pemimpin UMNO hanya mengundang kemelut dalam parti.

Tajuddin dalam pendedahan­nya kelmarin mendakwa, Ahmad Zahid tidak layak memimpin parti dan perlu undur diri secara terhormat.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu juga mendakwa segala keputusan mesyuarat MKT UMNO selama ini bukan kehendak ahli MKT, sebaliknya adalah kehendak Ahmad Zahid sendiri.

Tajuddin mendakwa Ahmad Zahid mengetuai bagi mendatanga­ni SD dalam kalangan Ahli Parlimen UMNO bagi menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia