Berita Harian

300,000 kanak-kanak belum divaksin

-

Bandar Baru Bangi: Lebih 300,000 kanak-kanak di negara dikesan belum mendapatka­n suntikan vaksin COVID-19.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata walaupun jumlah itu dilihat tinggi, terdapat perubahan pandangan dalam kalangan ibu bapa yang kini mahukan anak mereka disuntik vaksin.

Oleh itu, beliau berkata, Kementeria­n Kesihatan (KKM) menunggu maklum balas orang ramai untuk melihat sama ada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKIDS) akan dibuka semula.

“PICKIDS untuk kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun bermula Februari lalu dan ia ditutup pada 31 Mei. Namun saya memutuskan untuk membuka program itu hanya selama lima hari iaitu bermula 20 Jun hingga Jumaat lalu.

“Apa yang kita lihat sepanjang lima hari penganjura­n itu, kita dapati ia mendapat permintaan begitu memberangs­angkan iaitu 300 orang pada hari pertama kemudian meningkat kepada 500, 700, 1,700 dan pada hari terakhir 2,100 orang.

“Saya berpandang­an kehadiran ini mungkin daripada kalangan mereka yang terlepas pandang atau duduk di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai akses maklumat yang tepat dan mereka hadir membawa anak pada program terakhir itu,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Penyalahgu­naan Bahan (PREVENT) 2022.

Pemerhatia­n BH dalam laman web COVIDNOW setakat kelmarin mendapati jumlah kanak-kanak yang mengambil vaksin COVID kurang daripada separuh iaitu 49.1 peratus untuk dos pertama dan 37. 9 peratus bagi dos kedua.

Ditanya mengenai peningkata­n pengambila­n vaksin itu, Noor Azmi berkata ia turut disebabkan pandangan ibu bapa yang mula berubah dan menerima kebaikan vaksin COVID-19.

“Sebelum ini ada kalangan ibu bapa yang mahu menunggu dan lihat sahaja, tetapi apabila melihat keberkesan­an vaksin ini dalam melawan COVID-19, mereka tidak lagi ragu-ragu sebaliknya hadir untuk memastikan anak mereka mendapat suntikan,” katanya.

Dr Noor Azmi menjelaska­n, ramai hadir pada hari terakhir PICKIDS juga disebabkan ramai kanak-kanak yang sudah cukup umur.

“Ada ibu bapa yang mahu mendapatka­n vaksin untuk anak mereka tetapi belum melepasi umur lima tahun atau berada di hari terakhir memasuki umur itu. Apabila kesempatan itu ada, mereka terus hadir mendapatka­n suntikan,” katanya.

Mengulas penularan jangkitan Penyakit Seperti Influenza (ILI), Dr Noor Azmi berkata, KKM belum lagi merancang mengadakan pemberian vaksin itu seperti dilaksanak­an dalam PICKIDS.

“Seperti dinyatakan Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin), jangkitan ILI masih terkawal dan kes juga terpencil. Namun pengurusan jangkitan ini sama seperti COVID-19 seperti pengasinga­n pesakit dan memakai pelitup muka,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia