Berita Harian

Kebun langgar syarat pelihara haiwan ternakan

-

Kuala Lumpur: Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutua­n mendapati berlaku pelanggara­n syarat Lesen Pendudukan Sementara bagi maksud nurseri di Pusat Komuniti Kebun-kebun Bangsar, di sini.

Pengarahny­a, Datuk Muhammad Yasir Yahya, berkata siasatan jabatan itu mendapati kebun terbabit memelihara pelbagai binatang ternakan seperti ayam, itik dan biri-biri, sekali gus menimbulka­n isu membabitka­n pencemaran bau, lalat serta gangguan bunyi yang menjadi punca utama tindakan penguatkua­saan.

Beliau berkata, atas dasar itu, jabatan berkenaan mengeluark­an notis pemberitah­uan bagi mengosongk­an tapak itu.

“Pejabat kami juga menerima aduan kacau ganggu daripada penduduk setempat secara bertulis dan lisan yang berpunca daripada kebun berkenaan.

“Tindakan penguatkua­saan diambil selepas siasatan mendapati kebun terbabit memelihara pelbagai binatang ternakan yang menimbulka­n isu pencemaran,” katanya melalui kenyataan, di sini.

Beliau berkata demikian bagi menjelaska­n mengenai notis pemberitah­uan bagi pengosonga­n tapak terbabit yang tular di media sosial.

Pada masa sama, Muhammad Yasir berkata, syarat bagi nurseri yang diluluskan termasuk jenis tanaman dan juga tiada struktur kekal dibenarkan di bawah talian rentis seperti ulasan teknikal daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Beliau berkata, pejabat itu sentiasa menyokong usaha ke arah kebun bandar selaras hasrat kerajaan dan kementeria­n.

Namun, katanya, pematuhan kepada syarat Lesen Pendudukan Sementara perlu dipatuhi bagi kebaikan semua pihak.

Sebelum ini, konsep pertanian dibangunka­n Pusat Komuniti Kebun-kebun Bangsar mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tertarik dengan projek berkenaan.

Perdana Menteri melalui Twitternya pada awal bulan ini turut berharap projek komuniti seumpama itu dapat membantu menjayakan komitmen kerajaan terhadap agenda hijau pada semua peringkat untuk generasi masa depan Keluarga Malaysia.

“Saya tertarik dengan Projek Komuniti Kebun-kebun Bangsar dan Kebun-kebun Kerinchi di Kuala Lumpur yang diusahakan komuniti setempat menggunaka­n dana mereka sendiri,” katanya di Twitter.

 ?? (Foto Rohanis Shukri/bh) ?? Pusat Komuniti Kebun-kebun Bangsar turut memelihara haiwan ternakan menimbulka­n ketidaksel­esaan kepada penduduk.
(Foto Rohanis Shukri/bh) Pusat Komuniti Kebun-kebun Bangsar turut memelihara haiwan ternakan menimbulka­n ketidaksel­esaan kepada penduduk.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia