Berita Harian

Dhaya Maju LTAT, kerajaan hampir capai kata sepakat

-

Kes penamatan kontrak projek KVDT2

Mahkamah perlu sebulan sama ada untuk diterus atau ditarik balik

Putrajaya: Mahkamah Persekutua­n semalam diberitahu bahawa kontraktor Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd (Dhaya Maju LTAT) dan kerajaan hampir menyelesai­kan tindakan undang-undang berhubung penamatan kontrak projek Landasan Berkembar Lembah Klang Frasa 2 (KVDT2).

Peguam Kanan Persekutua­n, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi yang mewakili kerajaan dan Menteri Pengangkut­an, Datuk

Seri Dr Wee Ka Siong dalam kes semakan kehakiman, memaklumka­n panel tiga hakim Mahkamah Persekutua­n bahawa rundingan antara pihak terbabit mencapai peringkat yang memerlukan beberapa perkara dimuktamad­kan.

Beliau berkata, pihaknya memerlukan sebulan untuk mengetahui sama ada perkara itu akan diteruskan atau ditarik balik.

Peguam Kanan Persekutua­n, Asliza Ali, yang mengendali­kan kes sivil yang difailkan terhadap kerajaan dan Ka Siong juga memaklumka­n pihaknya memerlukan sebulan untuk mendapatka­n arahan lanjut daripada kementeria­n.

Peguam Phang Huey Lynn dan Khoo Guan Huat yang mewakili Dhaya Maju LTAT dalam kes semakan kehakiman dan saman sivil, kedua-duanya bersetuju perbicaraa­n ditangguhk­an sebulan dan mengesahka­n pihak terbabit hampir mencapai penyelesai­an.

Hakim Mahkamah Persekutua­n, Datuk Nallini Pathmanath­an yang mengetuai panel itu bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Zabariah Mohd Yusof, kemudian menetapkan 29 Julai untuk sebutan kes.

Dalam permohonan semakan kehakiman difailkan pada September 2020, Dhaya Maju LTAT antara lain memohon pengisytih­aran bahawa keputusan kerajaan membatalka­n projek KVDT2, yang diberikan pada 19 Ogos 2019 dan seterusnya membuka semula tender bagi projek itu, adalah batal dan tidak sah.

Bagi saman sivil, kerajaan memohon Mahkamah Persekutua­n memberi kebenaran untuk meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 26 Julai tahun lalu, yang memberikan Dhaya Maju LTAT injunksi Erinford bagi menghalang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) daripada mengambil sebarang tindakan selanjutny­a berhubung pembatalan lesen syarikat (Dhaya Maju LTAT) untuk menduduki tapak projek KVDT2.

Mahkamah Rayuan membenarka­n injunksi Erinford sementara menunggu selesainya rayuan syarikat terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan syarikat itu tahun lalu, bagi untuk mendapatka­n perintah injunksi interim untuk menghalang kerajaan dan KTMB daripada mengarahka­n syarikat itu menghentik­an kerja projek KVDT2. BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia