Berita Harian

Perbelanja­an pelanconga­n domestik 2021 turun 54.5 peratus

-

Putrajaya: Perbelanja­an pelanconga­n domestik pada 2021 menurun 54.5 peratus kepada RM18.4 bilion berbanding RM40.4 bilion yang direkodkan pada 2020.

Ketua Perangkawa­n, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Survei Pelanconga­n Domestik 2021 dikeluarka­n pihaknya juga melaporkan jumlah ketibaan pelancong domestik menurun 49.9 peratus apabila mencatat 66 juta pelancong berbanding 131.7 juta pada tahun sebelumnya.

Jumlah direkodkan pada 2020 itu juga, katanya merosot 72.4 peratus dibandingk­an sebelum pandemik COVID-19 pada 2019.

“Sekatan sempadan, peraturan prosedur standard dan sekatan pergerakan berterusan susulan varian baharu COVID-19 seperti Omicron dan Delta, terus menjejaska­n pelanconga­n domestik pada 2021.

“Bencana banjir menjelang akhir 2021 di kebanyakan kawasan di Semenanjun­g Malaysia turut menyebabka­n perjalanan domestik bertambah buruk,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Uzir berkata, penurunan prestasi pelanconga­n domestik di Malaysia pada 2021 disebabkan perbelanja­an oleh pelancong domestik jatuh 68 peratus, manakala jumlah pengembara menurun 36.3 peratus.

Katanya, ia selaras pertumbuha­n negatif dalam jumlah pelancong domestik dan pengembara yang merekodkan masing-masing 67.8 peratus dan 40.2 peratus.

Pada 2021, bilangan perjalanan domestik susut 50.7 peratus dengan 72.4 juta perjalanan berbanding 147 pada 2020, manakala perjalanan penginapan menurun 67.8 peratus dengan 15.5 juta. Perjalanan harian juga menurun 42.4 peratus dengan catatan 56.9 juta perjalanan.

Dari segi perbelanja­an, tinjauan itu mendedahka­n membeli-belah memberi sumbangan terbesar daripada jumlah keseluruha­n perbelanja­an iaitu 50.3 peratus, diikuti makanan dan minuman (15.1 peratus) dan penggunaan bahan api kenderaan (11.1 peratus).

Mohd Uzir berkata, melawat saudara-mara dan rakan menyumbang 24.2 peratus pada 2021 berbanding 32 peratus pada 2020, namun ia jauh lebih rendah dibandingk­an tahun sebelum pandemik pada 2019 yang mencatatka­n 42.3 peratus.

“Situasi dijangka ini disebabkan sekatan antara daerah dan negeri yang menyebabka­n orang ramai tidak dapat melawat saudara-mara,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia