Berita Harian

Pengasas pusat rawatan Islam disyaki khalwat

-

Alor Gajah: Seorang lelaki warga emas dipercayai pengasas sebuah pusat perubatan Islam di sini, dicekup selepas disyaki berkhalwat dengan pekerjanya di sebuah rumah teres di Masjid Tanah, malam kelmarin.

Tangkapan dibuat selepas lelaki terbabit gagal mengemukak­an sebarang dokumen berkaitan ketika diminta pihak berkuasa, walaupun mendakwa sudah bernikah di negara jiran pada 2012.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) Datuk Che Sukri Che Mat, berkata serbuan dilakukan hasil maklumat awam berhubung kegiatan lelaki warga negara jiran berusia 60-an bersama pasangan berusia 40-an.

Beliau berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati lelaki itu mengamalka­n kaedah ‘perubatan jarak jauh’ bagi membuang saka dan mempunyai ribuan pengikut di seluruh negara, termasuk mempunyai saluran Youtube sendiri.

“Bertindak atas maklumat itu sepasukan penguat kuasa JAIM mengesan aktiviti maksiat di sebuah rumah teres di sini dan berjaya menahan lelaki itu bersama pasanganny­a yang juga ibu tunggal anak satu.

“Dia mendakwa sudah berkahwin di negara jiran pada 2012, namun gagal menyerahka­n dokumen pernikahan yang sah apabila diminta dan memberi alasan ia sudah diserahkan kepada pihak lain untuk urusan pendaftara­n walaupun sudah hampir 10 tahun,” katanya kepada media selepas menyertai operasi cegah maksiat di sini yang berakhir jam 3.30 pagi semalam.

Che Sukri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 53 (1) dan (2) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 kerana berkurung atau bersekedia­man sehingga mendatangk­an syak, dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM3,000 atau 24 bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia