Berita Harian

Arwah ringan tulang, suka membantu kerja pembersiha­n

- Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri dan Asrol Awang bhnews@bh.com.my

5 beranak maut nahas di Jalan Kuantan-segamat petang kelmarin

Padang Rengas: Muhammad Rosli Ibrahim, 33, yang maut bersama isteri serta tiga anak dalam nahas di Jalan Kuantan-segamat petang kelmarin, dikatakan beriya-iya mengajak ibu kandungnya untuk turut serta ke Kuantan, Pahang.

Perkara itu dinyatakan Mohd Yusof Ibrahim, 35, yang juga abang kepada Muhammad Rosli, namun ajakan arwah ditolak ibu.

Katanya, ibu mereka menolak ajakan itu memandangk­an pemergian lima beranak itu ke Kuantan mempunyai kaitan dengan urusan keluarga sebelah isteri Muhammad Rosli, Nor Afikah Abdullah Sani, 35, yang turut maut dalam nahas terbabit.

“Sebelum ini emak sememangny­a jarang ikut (arwah) ke Pahang, namun kali ini bersungguh jugalah arwah mengajak emak pergi tetapi ajakan itu tidak dipenuhi,” katanya ketika ditemui di kampung mereka di Kampung Labu Kubong, Lubok Merbau, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang kelmarin, lima sekeluarga dilapor maut dalam kemalangan membabitka­n dua kenderaan berhampira­n sebuah stesen minyak di Jalan Kuantan-segamat.

Selain Muhammad Rosli dan Nor Afikah Abdullah Sani, turut maut anak perempuan mereka Nur Safwa Irdina dan Nur Sofea Rajda yang berusia tujuh dan enam tahun, selain bayi lelaki mereka, Muhammad Rizqi berusia setahun enam bulan.

Dalam pada itu, Mohd Yusof mengakui pemergian lima beranak itu menghadap Ilahi mengejutka­n keluarga khususnya ibu mereka, memandangk­an arwah Muhammad Rosli antara anak kesayangan yang banyak menabur bakti.

“Dia (Muhammad Rosli) bekerja sebagai pemandu bas dan sememangny­a seorang yang ringan tulang serta gemar membantu dalam kerja pembersiha­n di kampung emak kami.

“Boleh dikatakan dalam seminggu, dua kali arwah akan pulang singgah ke kampung khusus untuk membantu emak yang menetap di sini dan jika cuti daripada membawa bas, dia akan berusaha mencari pendapatan lebih dengan membawa lori secara sambilan.

“Kira-kira dua minggu lalu juga, arwah ada menjemput keluarga adik beradik berhimpun di rumahnya di Bagan Serai untuk kenduri kecil dan sempat menghadiah­kan pakaian kepada anak saudara, namun ketika itu dia tidak menunjukka­n sebarang kelakuan pelik,” katanya.

Sementara itu, Mohd Yusof berkata kenderaan terpakai dinaiki lima beranak itu ketika kemalangan baru dibeli adiknya daripada jiran berdekatan, selepas ia dikatakan jarang digunakan.

Malah, katanya imej kereta jenis Toyota Corolla itu yang tersebar melalui Whatsapp jugalah yang menguatkan keyakinann­ya dan keluarga bahawa Muhammad Rosli terbabit kemalangan.

Jenazah lima beranak itu dikebumika­n dalam satu liang di tanah perkuburan Islam di kampung halaman Muhamad Rosli di Lubuk Merbau, petang semalam.

 ?? (Foto ihsan keluarga) ?? Lima beranak yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Kuantan-segamat, Kuantan petang kelmarin.
(Foto ihsan keluarga) Lima beranak yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Kuantan-segamat, Kuantan petang kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia