Berita Harian

3 penumpang MPV tak sempat sampai rumah

- Oleh Ruwaida Md Zain bhnews@bh.com.my

Nahas kenderaan bertembung ragut 3 nyawa, 3 lagi cedera dalam perjalanan pulang

Kuala Langat: Polis mengesahka­n enam mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 45.7 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Pulau Carey, di sini, malam kelmarin dikatakan dalam perjalanan pulang selepas urusan perniagaan di Nilai, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superinten­dan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Salleh berkata, ketika kejadian, enam mangsa yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Pelabuhan Klang.

“Siasatan awal mendapati kenderaan Toyota Unser dari Telok Panglima Garang, Kuala Langat menghala ke arah Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

“Apabila tiba di lokasi kemalangan kenderaan dinaiki mereka dipercayai bertembung dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV dari arah bertentang­an (dari arah Pulau Indah menghala ke Telok Panglima Garang).

“Kenderaan Honda CRV itu terbalik dan masuk ke laluan bertentang­an,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ahmad Ridhwan berkata, siasatan mendapati keenam-enam mangsa yang menaiki Toyota Unser tersepit dan dikeluarka­n oleh pihak bomba.

“Seorang penumpang hadapan dan dua penumpang belakang Toyota Unser disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

“Pemandu dan dua lagi penumpang kenderaan sama parah dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang bagi rawatan kecemasan.

“Pemandu Honda CRV yang cedera mendapatka­n rawatan kecemasan di Hospital HTAR, Klang,” katanya.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati semua mangsa yang menaiki Toyota Unser adalah warga asing, manakala pemandu Honda CRV adalah warga tempatan dengan lingkungan umur 25 hingga 32 tahun.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan (APJ) 1987.

“Saksi bebas yang melihat kemalangan berlaku atau saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian kemalangan ini boleh menghubung­i mana-mana Balai Polis yang berhampira­n

“Boleh juga menghubung­i pegawai penyiasat kes, Inspektor

Fatin Husna Khairuzzam­an (Pegawai Penyiasat Trafik, Bahagian Siasatan Dan Penguatkua­saan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat) di talian 017-3012621 atau 03-31872222),” katanya.

Terdahulu, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kemalangan itu pada jam 10.42 malam dan tiba di lokasi lapan minit kemudian.

“Sebaik tiba di lokasi, bomba segera melakukan operasi menyelamat dan mengeluark­an semua mangsa dari kedua-dua kenderaan terbabit.

“Semua mangsa dikeluarka­n jam 12.16 tengah malam,” katanya ketika dihubungi, semalam.

 ?? (Foto ihsan Bomba) ?? Keadaan salah satu kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di SKVE-PULAU Carey, malam kelmarin.
(Foto ihsan Bomba) Keadaan salah satu kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di SKVE-PULAU Carey, malam kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia