Berita Harian

Suntikan dos penggalak kedua dapat sambutan

- Oleh Noor Atiqah Sulaiman bhnews@bh.com.my

Pemberian secara datang terus, janji temu di PPV Pavillion Bukit Jalil

Kuala Lumpur: Pemberian suntikan dos penggalak kedua vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pavillion Bukit Jalil di sini, menerima sambutan menggalakk­an daripada orang ramai sejak pagi kelmarin.

Tinjauan BH mendapati, pemberian pelalian itu dibuat secara datang terus (walk-in), selain ada penerima yang hadir mengikut slot janji temu masing-masing.

Keadaan itu menyebabka­n orang ramai beratur panjang bagi mendapatka­n giliran untuk menerima suntikan pelalian berkenaan.

Ia dipercayai sebagai persediaan bagi golongan berisiko menghadapi sebarang kemungkina­n berikutan trend jangkitan semasa COVID-19 ketika ini mencatatka­n peningkata­n.

Selasa lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dilaporkan berkata, individu sihat berusia 50 hingga 59 tahun kini boleh menerima dos penggalak kedua vaksin COVID-19, jika mereka memilih berbuat demikian bagi perlindung­an daripada risiko penyakit teruk.

Lima kumpulan lain yang layak menerima dos penggalak kedua adalah individu berusia 60 tahun ke atas dengan atau tanpa komorbidit­i berisiko tinggi serta mendapat saranan daripada pengamal perubatan.

Selain itu, warga emas mendiami fasiliti penjagaan jangka panjang, individu berusia 18 hingga 59 tahun yang berisiko tinggi dan petugas barisan hadapan.

4,816 jangkitan semalam Sementara itu, portal COVIDNOW melaporkan, kes COVID-19 di negara ini direkodkan sebanyak 4,816 kes, semalam.

Perkembang­an terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan meningkat kepada 4,648,931 kes, sejak pandemik COVID-19 melanda Malaysia, pada Mac 2020.

Perkongsia­n sama turut memperinci­kan sebanyak 4,814 daripada keseluruha­n jangkitan harian itu adalah kes penularan tempatan, manakala dua lagi ialah kes import.

Sehingga kini, sebanyak 49,547 atau 96.7 peratus kes COVID-19 masih aktif, masing-masing membabitka­n 47,932 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah, manakala 1,535 kes atau 3.1 peratus sedang mendapatka­n rawatan di hospital.

Hanya 0.1 peratus iaitu 28 individu dijangkiti COVID-19 berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan alat bantuan pernafasan, manakala 21 individu dirawat di unit sama tetapi tidak bergantung kepada alat berkenaan.

Angka kematian akibat COVID-19 turut meningkat kepada 35,911 kes dengan pertambaha­n sembilan kes kematian termasuk satu yang meninggal dunia di luar fasiliti kesihatan (BID).

Negara ketika ini mencatatka­n sebanyak 7,623 kes BID atau individu meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan.

Mengenai kes sembuh jangkitan berkenaan, data menunjukka­n setakat semalam, sebanyak 3,928 kes, menjadikan sehingga kini 4,563,473 kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19.

 ?? (Foto Azhar Ramli/bh) ?? Orang ramai beratur bagi menerima suntikan dos penggalak kedua COVID-19 di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.
(Foto Azhar Ramli/bh) Orang ramai beratur bagi menerima suntikan dos penggalak kedua COVID-19 di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia