Berita Harian

‘UMNO tak dahului Jemaah Menteri’

Pimpinan parti nafi mahu ambil kuasa, dahului Kabinet

- Oleh Mohamed Farid Noh farid_noh@bh.com.my

Pontian: UMNO menafikan parti itu mendahului Jemaah Menteri dalam membuat ketetapan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada tahun ini.

Sebaliknya, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata beliau yakin isu pandangan anggota Kabinet sudah diselesaik­an kerana Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO ada diberikan gambaran mengenai mesyuarat Jemaah Menteri dalam perkara berkenaan.

Beliau berkata, keputusan mengadakan PRU-15 pada tahun ini juga dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO.

Katanya, UMNO bukan mahu mengambil kuasa, mahu pun mendahului Kabinet, namun oleh kerana Perdana Menteri adalah sebahagian kepemimpin­an tertinggi parti, maka ia perlu membuat keputusan bersama.

“Oleh kerana Perdana Menteri daripada UMNO, maka kita nyatakan pendirian mengenai PRU-15. Yang akan menghadap Yang di-pertuan Agong untuk mendapat perkenan juga adalah Perdana Menteri.

“Atas sebab itu, UMNO perlu buat keputusan yang memandu ke arah PRU-15, bukan parti lain. Kita harap panduan dibuat itu akhirnya berjaya membawa kepada pilihan raya diadakan.

“Apatah lagi Perdana Menteri adalah sebahagian yang buat keputusan itu (PRU-15) kerana beliau hadir dalam Mesyuarat Top 5, Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Jumaat lalu.

“Urusan Kabinet tentunya sudah diselesaik­an. Walaupun saya tiada dalam Kabinet, namun MKT ada diberi gambaran mesyuarat Kabinet (sudah bincang),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Ayuh Cergas Warga Emas Cemerlang di Dewan Jubli Intan, di sini semalam.

Jumaat lalu, MKT UMNO membuat ketetapan supaya PRU-15 diadakan pada tahun ini.

Ahmad dilaporkan, berkata susulan keputusan itu, Ismail Sabri akan mempersemb­ahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembaga­an Persekutua­n.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menolak kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyatakan tindakan MKT UMNO menggesa PRU-15 diadakan secepat mungkin diibaratka­n menempah maut.

“Pihak yang menyatakan perkara itu tidak tahu mengenai persiapan yang dibuat. Beliau pun tak pernah hadir dalam pertemuan besar yang parti adakan. Mungkin beliau tidak mengetahui dan tidak terbabit. Namun sebenarnya kita sudah buat banyak persiapan PRU-15 ini,” katanya.

Perjumpaan khas

Sementara itu, beliau juga mengesahka­n Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri akan mengadakan perjumpaan khas dengan kepimpinan bahagian di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) jam 2 petang esok.

“Saya ingin mengesahka­n pada Selasa ini (esok) akan ada perjumpaan khas sebagaiman­a yang terkandung dalam surat tular yang mempunyai tandatanga­n saya.

“Perjumpaan khas itu akan dihadiri 764 wakil terdiri daripada Ketua Bahagian, Ketua Pemuda Bahagian, Ketua Puteri Bahagian dan Ketua Wanita Bahagian yang mewakili 191 Bahagian UMNO dari seluruh negara,” katanya.

Surat ditandatan­gani Ahmad mengenai Perjumpaan Khas Bersama Presiden UMNO dan Perdana Menteri, tular di media sosial sejak kelmarin.

Ahmad berkata, perjumpaan khas itu akan memfokuska­n persiapan menghadapi PRU-15.

“Perjumpaan khas ini bukan rahsia kerana ia adalah perjumpaan untuk mendengar mandat Presiden dan Perdana Menteri mengenai persiapan PRU-15.

“UMNO meminta untuk diadakan (PRU) tahun ini, namun kalau dicongak-congak bukanlah kita mahu adakan ketika banjir, mungkin Oktober atau November, ini kerana banjir selalunya Disember dan Januari,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkina­n soal calon PRU-15 juga akan turut disentuh dalam perjumpaan itu.

“Ahmad Zahid dan Ismail Sabri akan berucap pada perjumpaan itu. UMNO belum muktamadka­n calon, namun kita perlu dengar dulu apa yang hendak disampaika­n kedua-dua pimpinan utama ini.

“Bagaimanap­un, UMNO tetap menggarisk­an ciri calon ‘Wali’ iaitu winnable (boleh menang), acceptable (diterima) serta likeable (disenangi) seperti ditetapkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini,” katanya.

 ?? (Foto Nur Aisyah Mazalan/bh) ?? Ahmad selepas merasmikan Karnival Ayuh Cergas Warga Emas Cemerlang di Pontian, semalam.
(Foto Nur Aisyah Mazalan/bh) Ahmad selepas merasmikan Karnival Ayuh Cergas Warga Emas Cemerlang di Pontian, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia