Berita Harian

‘Bubar Parlimen perlu dapat pandangan Kabinet’

-

Kota Kinabalu: Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang mahukan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam tahun ini juga, tidak mematuhi peruntukan dalam Perlembaga­an Persekutua­n, kata Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menteri Dalam Negeri yang juga Setiausaha Agung BERSATU, berkata ini kerana keputusan membubarka­n Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15 perlu dibuat selepas mendapat pandangan Jemaah Menteri.

Mengakui perdana menteri mempunyai kuasa menasihatk­an Yang di-pertuan Agong berkenaan perkara itu, beliau menegaskan, keputusan untuk membubarka­n Parlimen bagaimanap­un tetap perlu mendapatka­n pandangan anggota Kabinet terlebih dahulu.

“Dalam Perlembaga­an, perdana menteri boleh menasihatk­an Yang di-pertuan Agong untuk membubarka­n Parlimen setelah berbincang dengan anggota Kabinet apabila sampai waktu, mungkin kerana ada keperluan untuk rakyat melantik atau mencari kerajaan yang baharu.

“Kalau kerajaan yang ada hari ini baik, sepatutnya diteruskan sehingga tamat tempoh (penggal Parlimen),” katanya pada sidang media selepas dialog awam program ‘Kita Demi Negara’ Zon Sabah, di sini semalam.

Katanya, sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan pembubaran Parlimen, UMNO perlu peka bahawa kerajaan dibentuk hari ini bukan diterajui sebuah parti dominan, sebaliknya terdiri daripada pelbagai parti.

“Jadi kena fikir panjanglah. Kadang-kadang UMNO tidak berfikir panjang dan ini masalah. Saya pula fikirkan kepentinga­n rakyat kerana segala apa yang kita lakukan adalah untuk kepentinga­n rakyat,” katanya.

Perlu fokus Bajet 2023

Di Putrajaya, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata kerajaan perlu fokus kepada kesiapsiag­aan dan Bajet 2023 sebelum mengadakan PRU-15, terutama berkaitan persiapan anggota penguat kuasa dan pelaksana seperti polis.

Kerajaan juga, katanya, perlu meneliti bajet kerana enam negeri di bawah pentadbira­n PAS dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menyatakan pendirian enggan membubarka­n Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing sekiranya PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat.

“Ia memerlukan kos tinggi sekiranya (pilihan raya negeri) diadakan (berasingan dengan peringkat Persekutua­n). Ini perlu diberi perhatian serius kerana ia bukan hanya untuk dapatkan kuasa pemerintah­an sematamata, tetapi kepentinga­n rakyat juga perlu diutamakan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengutamak­an perkara ini terlebih dahulu sebelum membubarka­n kerajaan,” katanya kepada media selepas program KBS Trail Run ‘Love Nature for Out Future 2022’, di sini semalam.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata BERSATU dan rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN) sudah bersiap sedia jika PRU-15 diadakan dalam tempoh terdekat dan akan memberi perkhidmat­an terbaik kepada rakyat jika dipilih menjadi kerajaan.

Banjir boleh jadi penghalang

Sementara itu, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika dihubungi BH, berkata kerajaan yang berjaya dibentuk melalui PRU-15 sewaktu musim banjir, tidak mencermink­an mandat sebenar daripada rakyat.

“Kita yakin ramai tidak akan keluar mengundi kerana banjir boleh halang mereka. Jadi, UMNO tak boleh guna alasan PRU-15 perlu diadakan dalam tempoh terdekat bagi memperoleh mandat sebenar daripada rakyat sedangkan hakikatnya ia menggambar­kan sebaliknya.

“PRU-15 ketika musim tengkujuh, kemungkina­n sebilangan ramai rakyat tidak akan keluar mengundi, namun menurut UMNO, jika PRU-15 diadakan tahun ini juga, maka mandat sebenar daripada rakyat dapat diperoleh.

“Justeru, adakah boleh dianggap keputusan PRU dengan peratusan keluar mengundi yang rendah sebagai mandat sebenar?” katanya mendakwa UMNO sengaja ingin mengadakan PRU15 pada musim tengkujuh kerana mengharapk­an peratusan keluar mengundi yang rendah.

Katanya, peratusan keluar mengundi yang rendah memberi kemenangan buat UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia