Berita Harian

YB boleh tarik sokongan kepada PM jika tak setuju

Perdana Menteri boleh nasihat Seri Paduka untuk panggil, tangguh atau bubar

- Oleh Suzalina Halid dan Nuradzimma­h Daim bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Ahli Dewan Rakyat yang tidak bersetuju Perdana Menteri menasihati Yang di-pertuan Agong berhubung pembubaran Parlimen dalam masa terdekat, boleh mengambil tindakan menarik sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pengasas jurisprude­ns watan, Datuk Prof Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, berkata Yang di-pertuan Agong pula perlu bertindak mengikut nasihat perdana menteri selagi beliau belum hilang kepercayaa­n majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Perdana menteri boleh menasihati baginda berhubung Perkara 55, iaitu kuasa untuk memanggil, menangguh dan membubarka­n Parlimen di mana tanggungja­wab untuk menasihati baginda terletak kepada Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis Parlimen.

“Berbeza keadaannya jika Perdana Menteri tidak lagi mempunyai kepercayaa­n majoriti Ahli Dewan Rakyat, maka ketika ini beliau tidak lagi boleh menasihati baginda, sebaliknya hanya boleh membuat permintaan untuk membubarka­n Parlimen,” katanya kepada BH, semalam.

Wan Ahmad Fauzi yang juga Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik Universiti Malaysia Pahang (UMP), berkata Ismail Sabri masih perlu mengambil kira kehendak UMNO berikutan beliau bertanding pilihan raya atas tiket parti berkenaan.

Katanya, kelulusan rang undang-undang berkaitan antilompat parti juga mengukuhka­n lagi pengaruh keputusan parti dalam menentukan tindak tanduk seorang Ahli Parlimen, termasuk perdana menteri.

“Seruan untuk mengembali­kan mandat kepada rakyat pernah disuarakan oleh banyak pihak, namun akhirnya keputusan politik kepartian perlu dibuat oleh parti, bukannya perdana menteri dengan pemimpin parti politik lain.

“Sama ada keputusan itu gembirakan rakyat atau tidak, itu kembali kepada penilaian parti, khususnya parti dianggotai Perdana Menteri. Pastinya konsensus ahli Jemaah Menteri penting, tapi bila masa yang sesuai untuk kembalikan mandat kepada rakyat, pasti penilaian parti akan diberi keutamaan.

“Masing-masing akan bertanding semula untuk memenangka­n parti sebelum berlaku proses pembentuka­n semula ahli Jemaah Menteri,” katanya sambil menambah, komposisi ahli Jemaah Menteri yang berbilang parti adalah urusan pemimpin politik kepartian.

Beliau berkata, Yang di-pertuan Agong sebaliknya adalah pemerintah berdaulat yang berpanduka­n Perlembaga­an bertulis, perlu bertindak mengikut nasihat perdana menteri dan baginda juga perlu bersifat berkecuali dalam percaturan politik kepartian.

“Perlembaga­an Persekutua­n memelihara kedaulatan dan prerogatif Yang di-pertuan Agong, dan pada masa sama memandu bagaimana kuasa dan bidang kuasa baginda dilaksanak­an," katanya yang juga pakar perlembaga­an.

Henti guna alasan musim tengkujuh

Sementara itu, Geostrateg­is dan Felo Kanan Akademi Penyelidik­an Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan, berkata Pakatan Harapan (PH) perlu berhenti menggunaka­n alasan musim tengkujuh untuk menangguhk­an Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“PH perlu jujur menjelaska­n persiapan mereka berbanding mengeliruk­an rakyat yang kemudian boleh mempengaru­hi jumlah keluar mengundi. PH mendakwa musim tengkujuh boleh jejaskan jumlah keluar mengundi dan ini boleh mendorong rakyat tidak keluar menunaikan tanggungja­wab itu.

“Jika analogi ini digunakan, maka kita boleh katakan Barisan Nasional (BN) akan paling terjejas kerana UMNO mempunyai sokongan kuat di kawasan luar bandar yang berisiko lebih tinggi dilanda banjir,” katanya.

Penganalis­is politik, Dr Ainul Adzellie Hasnul pula melihat PH diselubung­i masalah dalaman yang mungkin menjejaska­n persiapann­ya dalam berhadapan PRU-15, sekali gus berusaha membangkit­kan seberapa banyak isu yang boleh untuk menyerang kerajaan.

“Keputusan PRN Melaka dan Johor tidak memihak pembangkan­g, jadi mereka dilihat cuba tangguhkan PRU-15 untuk mendapatka­n lebih banyak sokongan. UMNO pula sudah lama buat persiapan dengan jentera pilihan raya parti itu bersiap sedia untuk digerakkan,” katanya.

Seorang lagi penganalis­is politik, Mujibu Abd Muis, berkata UMNO mahu PRU-15 diadakan segera kerana semakin lama ia menunggu, selain banyak isu boleh tercipta dan mungkin menjejaska­n parti itu, terutama dalam kalangan pengundi atas pagar dan berkecuali.

“Pembangkan­g pula perlukan masa untuk membina naratif bagi mencabar UMNO. Sebelum ini, sokongan akar umbi dan kekuatan jentera pilihan raya (UMNO), ditambah dengan peratusan keluar mengundi yang rendah menyebabka­n kekalahan PH (di Melaka dan Johor).

“Jika isu itu dapat diatasi dengan mengambil seberapa banyak mungkin masa yang ada untuk membina naratif menyerang UMNO, PH mungkin ada peluang. Menunggu lebih lama bukan pilihan yang baik bagi UMNO,” katanya.

 ?? ?? Wan Ahmad Fauzi
Wan Ahmad Fauzi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia