Berita Harian

‘Sambung semula pembinaan selepas selesai rundingan’

Tempoh 14 bulan siapkan kapal pertama selepas fasa mobilisasi berakhir

- Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) akan disambung semula sebaik semua rundingan dalam fasa mobilisasi yang sedang berlangsun­g selama enam bulan sejak Jun lalu, selesai penghujung Disember ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammudd­in Hussein, berkata selepas fasa mobilisasi berakhir kelak, semua pihak terbabit mempunyai tempoh 14 bulan untuk memastikan pembinaan kapal pertama LCS disiapkan.

Selain itu katanya, ia juga perlu berada di permukaan air sebelum menjalani ujian seperti ‘Harbour Acceptance Test’ dan ‘Sea Acceptance Trial’.

“Garis masa ini mesti dipatuhi semua pemegang taruh, khususnya Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) selaku syarikat pembuat.

“Pembinaan LCS akan disambung semula selepas semua rundingan selesai dan setiap perjanjian dimuktamad­kan dalam fasa mobilisasi yang berakhir penghujung Disember ini,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.

Hishammudd­in berkata, ketika fasa mobilisasi ini, pelbagai usaha sudah dan sedang dilaksanak­an, terutama Kementeria­n Pertahanan (MINDEF) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), selain pihak komersial khususnya Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) serta BNSSB.

Katanya, hasil tumpuan dan kesunggu- han semua pihak bagi memastikan projek LCS dapat dilaksanak­an sebaik mungkin demi TLDM serta kepentinga­n maritim negara, fasa mobilisasi ini berjalan lancar selari syor beberapa pihak berkepenti­ngan termasuk Jemaah Menteri, Jawatankua­sa Kira-kira Wang Negara (PAC) serta Jawatankua­sa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).

“Dalam tempoh kira-kira tiga bulan pertama fasa mobilisasi ini sahaja, banyak perkara yang dilaksana, malah sebahagian­nya sudah diselesaik­an,” katanya.

Laksana dua perkara

Dari sudut komersial pula katanya, dua perkara sedang dilaksanak­an iaitu pertama, rundingan dengan pihak berkaitan yang mana BNSSB sudah selesai mengadakan rundingan dengan 145 vendor tempatan dan 42 pengeluar peralatan tulen (OEM) luar negara.

Katanya, pihak vendor tempatan dan OEM terutamany­a membabitka­n peralatan serta sistem utama juga sudah memberi aku janji untuk menyokong dan bersama pihak BNSSB bagi meneruskan projek ini.

“Selain itu proses penamatan pembabitan ‘orang tengah’ atau pengantara iaitu syarikat Contraves Advanced Devices (CAD) dan Contraves Electrodyn­amics Sdn Bhd (CED) sedang giat dilakukan. “Penamatan ini membolehka­n BNSSB berunding dengan OEM dan vendor secara terus tanpa perlu lagi melalui CAD dan CED.

“Langkah ini juga akan dapat mengurangk­an kos peralatan kapal yang perlu dibayar kepada vendor serta OEM memandangk­an tiada lagi pembabitan pihak pengantara,” katanya. Beliau berkata, BNSSB juga sedang giat berunding dengan sembilan institusi perbankan bagi tujuan penstruktu­ran semula hutang dan dijangka akan dimuktamad­kan dalam tempoh mobilisasi itu.

Perkara kedua pula katanya, adalah berkaitan ‘detailed design’ yang sedang dirundingk­an BNSSB dengan pihak Naval Group dari Perancis dan ia penting bagi memastikan apa jua yang diputuskan kelak dapat memenuhi keperluan TLDM sebagai ‘end user’.

“Pihak Naval Group juga memutuskan menghantar pasukan teknikalny­a untuk melakukan audit terhadap ‘detailed design’ tersebut pada bulan ini,” katanya.

Hishammudd­in berkata, dari sudut antara kerajaan dengan kerajaan pula, wakil Perancis sudah bertemunya dan menyerahka­n komitmen bertulis menyatakan usaha menerus dan menyelesai­kan projek LCS menjadi keutamaan negara itu.

“Ini perkembang­an yang mustahak serta amat membantu memandangk­an majoriti Naval Group dimiliki oleh Perancis.

“Secara keseluruha­nnya, semua pihak daripada kerajaan mahupun komersial memainkan peranan masing-masing dengan sangat baik terutama di fasa mobilisasi ini,” katanya.

Laporan berjadual

Beliau berkata, seperti diarahkan Kabinet, laporan proses rundingan di fasa mobilisasi harus dibentang kepada Jemaah Menteri secara berjadual, manakala di sudut struktur pemantauan, proses di fasa mobilisasi, ia dilaksanak­an secara rapi oleh perunding pengurusan projek (PMC).

“Ia dipengerus­ikan bersama Ketua Setiausaha Perbendaha­raan (KSP) Kementeria­n Kewangan serta Ketua Setiausaha MINDEF dan di bawah PMC ini juga terdapat Jawatankua­sa Teknikal LCS yang bermesyuar­at setiap dua minggu sekali,” katanya.

Dalam pada itu, Hishammudd­in berkata, seperti yang dimaklumka­n sebelum ini, sementara menunggu LCS siap sepenuhnya, TLDM sudah memohon perolehan Littoral Mission Ship (LMS) kumpulan kedua yang dilengkapi persenjata­an lebih menyeluruh.

Katanya, kementeria­n juga sudah membuat permohonan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri untuk melaksanak­an perolehan ini.

 ?? ?? Hishammudd­in Hussein
Hishammudd­in Hussein

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia