Berita Harian

PAPA, MAMA setuju usaha sekat agensi kenakan bayaran lebih

-

Kuala Lumpur: Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA) dan Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (PAPA) menyokong tindakan Indonesia yang akan menyekat mana-mana agensi pengambila­n pembantu rumah di negara itu jika mengenakan bayaran melebihi RM15,000.

Bayaran itu tertakluk dalam memorandum persefaham­an (MOU) antara Malaysia dan Indonesia yang ditandatan­gani April lalu, sekali gus mengelakka­n majikan di negara ini turut mengenakan bayaran tinggi.

Presiden PAPA, Datuk Foo Yong Hooi, berkata pihaknya bersetuju Indonesia menyekat agensi yang mengenakan bayaran melebihi RM15,000 kerana jumlah itu sudah teramat tinggi, selain negara itu tidak boleh berat sebelah dan perlu menetapkan bayaran maksimum yang boleh dikenakan ejen kepada agensi pekerjaan negara ini.

“Sebelum ini kita ada dengar ejen mengenakan jumlah hingga RM12,000 dan jumlah itu sudah terlalu tinggi. Apabila kita perlu membayar apa yang tertakluk dalam MOU, kita sebagai agensi pekerjaan yang mencari pekerja hanya boleh akur walaupun ada unsur berat sebelah.

“Jadi wajar kedua-dua negara tentukan berapa jumlah tepat agensi negara sumber itu caj dan berapa yang kita perlu bayar, kerana selepas mengambil pembantu rumah itu, kita di Malaysia perlu ‘menanggung’ mereka hingga dua tahun.

“Ini belum kemungkina­n berdepan situasi orang gaji lari dan jika ejen tidak ganti rugi, agensi pekerjaan yang perlu tanggung. Jadi paling mustahak kita sokong RM15,000, Indonesia perlu menetapkan caj di Indonesia, kerana misalnya wilayah Nusa Tenggara Timur kos pengambila­nnya sangat tinggi,” katanya kepada BH, semalam.

Kelmarin, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, dilaporkan berkata langkah itu dilakukan untuk memastikan semua klausa MOU itu dipatuhi pada setiap masa, sekali gus majikan di negara ini tidak dikenakan bayaran tinggi.

Sementara itu, Presiden MAMA, Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein, berkata majikan sepatutnya didedahkan semua perincian MOU supaya memperoleh maklumat jelas mengenai bayaran, klausa dan sebagainya.

“Kita hormati apa yang kedua-dua kerajaan meterai dalam MOU tetapi bayaran RM15,000 sememangny­a sangat tinggi, jadi apa yang boleh kerajaan lakukan adalah membenarka­n lebih banyak negara sumber,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia