Berita Harian

Kesan sampingan teknologi aeroangkas­a

-

Walaupun persaingan menguasai teknologi aeroangkas­a memberi banyak kebaikan tetapi ia juga hadir dengan kesan sampingan yang serius, khususnya terhadap negara kecil seperti Malaysia yang sedang aktif dalam penerokaan bidang itu dengan lebih meluas.

Kehadiran jutaan objek digelar ‘sampah angkasa lepas’ terdiri daripada serpihan satelit tinggal atau serpihan roket pelbagai saiz di angkasa, dijangka memberikan impak dipanggil Sindrom Kessler, seperti yang sudah dijangkaka­n sejak 50 tahun lalu.

Sindrom Kessler mula dikenali oleh saintis Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA), Donald J Kessler, pada 1978 yang merujuk keadaan di mana objek rendah orbit bumi (2000 kilometer ke bawah) berada dalam keadaan terlalu padat dan boleh menyebabka­n pelanggara­n bertali arus.

Persekitar­annya dilihat sebagai kawasan yang berisiko dan menyukarka­n misi angkasa lepas termasukla­h dilakukan Malaysia. Keadaan itu boleh mengakibat­kan kerosakan serius terhadap satelit milik negara seperti Measat-3d yang bernilai sekitar RM1.2 bilion, sekiranya hentaman berlaku.

Sekiranya hentaman terjadi, satelit akan rosak teruk dan boleh memberi kesan kepada gaya hidup moden seperti penggunaan gajet untuk navigasi Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS), misi satelit, teleskop dan pelbagai alat peranti yang lain.

Selain itu, 'sampah angkasa lepas' yang terlalu banyak juga sangat membimbang­kan kerana ia mungkin jatuh ke permukaan bumi atau kawasan penempatan manusia. Kebarangka­lian ia jatuh menghempap kawasan berpendudu­k bagaimanap­un disifatkan rendah kerana 70 peratus bumi dikeliling­i lautan, selain pengaruh cuaca dan matahari.

1,200 satelit masih operasi

Penolong Profesor Jabatan Kejurutera­an Mekanikal dan Aeroangkas­a,

Universiti Islam Antabangsa Malaysia, Dr Muhammad Hanafi Azami, berkata persaingan dunia dalam kemajuan aeroangkas­a mendorong lebih banyak pelancaran operasi meneroka angkasa lepas sejak dimulai pada 4 Oktober 1957.

Katanya, sejak tarikh itu, menurut Pusat Operasi Angkasa Eropah (ESOC), lebih daripada 5,250 pelancaran roket dibuat dan daripada kira-kira 23,000 satelit yang berada di orbit, hanya 1,200 daripadany­a masih beroperasi ketika ini.

“Jumlah yang tidak beroperasi adalah terlalu banyak, selain serpihan pelbagai saiz. Apabila berlaku pelanggara­n, ia akan pecah dan pecahannya akan bertebaran melanggar objek lain.

“Kekerapan pelanggara­n akan berterusan seperti kesan domino. Implikasi utama akan menyebabka­n gangguan trajektori orbit sesebuah satelit dan kerosakan strukturny­a. Serpihan sampah angkasa tidak terkawal boleh menghentam satelit-satelit lalu merosakkan­nya,” katanya.

Baru-baru ini, negara digemparka­n dengan serpihan roket Long March 5B milik China yang jatuh di Perairan Sulu sehinggaka­n ramai penduduk di Sarawak serta Sabah mendakwa ia seperti meteor bercahaya, sejurus melihatnya sekitar jam 12 tengah malam.

Sisa serpihan itu direkodkan jatuh di Laut Sulu, iaitu kawasan di antara latitud 9.1 darjah Utara dan longitud 119.0 darjah Timur.

Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) menyatakan, sisa serpihan roket yang jatuh bukan perkara baharu, malah sudah tiga kali teknologi membabitka­n China itu jatuh ke bumi selepas dilancarka­n dan ia dipantau mereka dilancarka­n pada 24 Julai lalu.

Ketika kejadian, objek seberat 27 kilogram (kg) dipercayai serpihan roket dikesan di kawasan Pekan Lama Sepupok Niah, Miri serta turut ditemui jatuh di kawasan ladang kelapa sawit persendiri­an milik penduduk di Kampung Hulu Nyalau.

Mengulas lanjut, Muhammad Hanafi berkata, terdapat parameter yang menentukan bebanan yang kritikal dalam Sindrom Kessler, termasukla­h keadaan titik yang menunjukka­n pelanggara­n tetap berlaku walaupun tiada sebarang objek dilancarka­n ke angkasa lepas.

“Kessler ketika itu menjangkak­an dalam tempoh 30 hingga 40 tahun ke hadapan, kita akan mencapai ke titik itu. NASA menjangkak­an ada 500,000 keping serpihan sebesar 10 sentimer (cm); 21,000 keping serpihan bersaiz lebih dari 10cm, dan lebih 100 juta keping serpihan bersaiz kurang dari 1cm yang sedang mengorbit bumi ketika ini,” katanya.

“NASA pada era 70-an turut menghadapi beberapa kes di mana roket Delta terbabit pelanggara­n dengan serpihan objek angkasa lalu meletup,” katanya sambil menjelaska­n, misi penerokaan angkasa lepas negara juga akan menjadi lebih sukar untuk mengelakka­n serpihan-serpihan ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia