Berita Harian

Dakwaan Empangan Kenyir akan pecah tak benar

NADMA perjelas paparan di media sosial berkaitan latih amal pelan tindakan kecemasan

- Oleh Nazdy Harun bhnews@bh.com.my

Kuala Terengganu: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengesahka­n isu yang tular mengenai Empangan Kenyir yang kononnya akan pecah berikutan bakal menerima taburan hujan lebat tahun ini sebagai tidak benar.

Justeru, NADMA menasihatk­an orang ramai tidak terpengaru­h dengan isu terbabit yang tular, sebaliknya mengesahka­n beberapa paparan tersebar di media sosial adalah berkaitan Latih Amal Pelan Tindakan Kecemasan Empangan Kenyir yang diadakan pada 26 hingga 29 September 2022.

NADMA melalui kenyataan media berkata, latih amal itu adalah program membabitka­n agensi kerajaan bersama anggota komuniti bagi memastikan tahap kesiapsiag­aan menghadapi bencana berada pada tahap optimum.

Katanya, semua agensi termasuk anggota komuniti perlu peka terhadap semua risiko bencana bagi memastikan tahap kesiapsiag­aan berada pada tahap tertinggi.

“Masyarakat perlu peka dan mengetahui pelan tindakan komuniti jika berlakunya bencana,” katanya.

Terdahulu, penduduk sekitar Empangan Kenyir dilapor bimbang susulan penyebaran berita kononnya empangan terbabit akan pecah disebabkan menerima taburan hujan lebat sehingga berisiko menyebabka­n banjir besar.

Walaupun menyedari mengenai latih amal yang diadakan, berita yang tular sedikit sebanyak mengundang kerisauan mengambil kira keadaan cuaca yang tidak menentu, selain kejadian runtuhan tanah yang berlaku di kawasan itu pada Februari lalu.

Tingkat keupayaan operasi

Dalam pada itu, NADMA berkata selaku agensi peneraju dalam pengurusan bencana negara, pihaknya sentiasa bekerjasam­a dengan pelbagai pihak berkepenti­ngan dalam menganjurk­an pelbagai program latih amal.

Katanya, ia bertujuan meningkatk­an keupayaan semua pihak supaya sentiasa bersedia untuk melaksanak­an operasi berkaitan bencana dengan berkesan di samping berdaya tahan terhadap bencana.

NADMA juga memaklumka­n, latih amal itu bukan baharu, malah pernah diadakan bagi Empangan Bakun di Sarawak, Empangan Sultan Abu Bakar di Cameron Highland dan beberapa empangan lain.

“Lain-lain latih amal yang pernah dianjur bagi memastikan kesiapsiag­aan agensi dan masyarakat adalah Latih Amal Tsunami di Kedah, Pulau Pinang dan Sabah.

“Latih Amal turut diadakan untuk memperkasa koordinasi pelbagai agensi dalam menghadapi bencana, selain meningkatk­an kefahaman dan keupayaan setiap agensi kerajaan yang berkaitan terhadap kaedah serta strategi pengendali­an bencana,” katanya.

Katanya, selain meningkatk­an kefahaman masyarakat, latih amal dapat menambah baik strategi pengendali­an bencana di peringkat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia