Berita Harian

‘Henti aktiviti riadah di kawasan sungai, tasik’

-

Alor Setar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menasihatk­an orang ramai mengelak mengunjung­i pusat peranginan ketika cuaca tidak menentu bagi mengelak terdedah risiko kemalangan di air.

Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjay­a Bomba Sayani Saidon, berkata taburan hujan tidak menentu diramalkan berlaku November ini sehingga Mac tahun depan.

Justeru, beliau berkata, jumlah hujan yang banyak pada waktu ini menyebabka­n risiko banjir, banjir kilat serta kepala air di kawasan rekreasi di negeri ini adalah sangat tinggi.

“Kita nasihatkan sebaiknya hentikan aktiviti beriadah di kawasan sungai, tasik dan kawasan air terjun demi untuk keselamata­n diri dan keluarga.

“Orang ramai boleh memilih untuk beriadah di kolam renang atau taman tema air yang lebih selamat,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat JBPM Kedah, semalam.

Aktiviti pendakian tak sesuai

Sebelum ini, JBPM Kedah dilaporkan memberi fokus di 39 ‘hot spot’ kawasan peranginan di negeri ini ketika fasa peralihan MTL.

Selain 11 kawasan di Baling, ia juga membabitka­n lima di Sik, masing-masing empat di Kulim dan Langkawi, masing-masing tiga di Guar Chempedak, Kuala

Muda dan Yan, masing-masing dua di Kubang Pasu dan Padang Terap serta satu di Bandar Baharu.

Dalam pada itu, Sayani berkata, sebarang aktiviti pendakian di kawasan bukit dan gunung juga tidak sesuai ketika monsun timur laut.

Sayani berkata, begitu juga dengan aktiviti memancing, jika tengok keadaan cuaca di tengah laut gelap atau ombak beralun jangan teruskan ke laut kerana boleh mengancam keselamata­n mereka.

Katanya, JBPM hanya melakukan operasi penyelamat­an kira-kira tiga batu nautika dari pantai dan perlu meminta pihak Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk meluaskan pencarian.

“Seeloknya peka dengan keadaan cuaca di sekeliling bagi mengelak memberi ancaman pada diri sendiri,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia