Berita Harian

Kastam rampas rokok putih bernilai lebih RM10 juta

Produk tidak bercukai dipercayai diimport dari China

- Oleh Izz Laily Hussein bhnews@bh.com.my

Johor Bahru: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor merampas rokok putih tidak bercukai dianggar bernilai lebih RM10 juta, dipercayai diimport dari China untuk dibawa ke pelabuhan di Kota Kinabalu, Sabah.

Kontena lebih 12 meter yang membawa rokok berkenaan ditahan kira-kira jam 11.20 pagi pada 22 September lalu, ketika transit di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, di sini.

Pengarah Kastam Johor, Sazali Mohamad, berkata anggota Bahagian Penguatkua­saan Gelang Patah melakukan pemeriksaa­n ke atas kontena terbabit selepas imbasan menunjukka­n imej meragukan.

Katanya, kontena itu diikrarkan membawa pelbagai jenis barangan antaranya lampu, aksesori komputer, peralatan bakeri, peralatan bayi dan pemanggang barbeku elektrik.

Imej imbasan meragukan

“Pemeriksaa­n imbasan mendapati imej diimbas tidak sama seperti yang diikrarkan dan selepas diperiksa dengan lanjut, kita menemui 9.18 juta batang rokok putih dengan dua jenama dipercayai tidak berkastam yang diimport.

“Rokok dipercayai dari China dan mereka transit di PTP kerana destinasi terakhir yang diikrar dalam senarai kargo ialah Pelabuhan Kota Kinabalu, Sabah,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Sazali berkata, rokok yang dirampas itu dianggar bernilai RM3.67 juta, manakala jumlah duti atau cukai yang terbabit adalah RM6.42 juta, menjadikan keseluruha­n nilai rampasan termasuk cukai berjumlah lebih RM10 juta.

Katanya, modus operandi sindiket itu adalah membuat ikrar tidak benar dan menjadikan PTP sebagai lokasi transit sebelum dihantar ke lokasi lain.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 18 Peraturanp­eraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019 dan Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 kerana membuat ikrar tidak benar dan mengimport barang larangan tanpa permit.

 ?? (Foto Izz Laily Hussein/bh) ?? Sazali menunjukka­n rampasan rokok putih tidak bercukai, pada sidang media di Menara Kastam, semalam.
(Foto Izz Laily Hussein/bh) Sazali menunjukka­n rampasan rokok putih tidak bercukai, pada sidang media di Menara Kastam, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia