Berita Harian

Kenaikan ESH wajar ambil kira lokasi

Kos sara hidup pelajar di bandar lebih tinggi berbanding luar bandar

- Oleh Saadiah Ismail saadiah_ismail@bh.com.my

Hanya mampu makan mi segera atau biskut kering sebagai mengalas perut malah ada yang memilih berpuasa hampir saban minggu memang sebahagian warna warni kehidupan sebagai mahasiswa.

Walaupun mungkin ia bukan pengalaman semua pelajar, namun pasti saja ada sebahagian yang mengikat perut atas faktor kesempitan wang. Hal ini disebabkan bukan semua pelajar mempunyai sumber kewangan mencukupi bagi menampung perbelanja­an di kampus merangkumi yuran, buku, alat tulis malah bagi sesetengah yang lain sewa rumah juga kos utiliti. Itu belum dikira kos ulang alik ke kampus juga bayaran bil telekomuni­kasi.

Seiring perkembang­an masa, kos sara hidup juga semakin meningkat yang menyebabka­n sebilangan pelajar perlu membuat kerja sampingan disebabkan kadar pinjaman atau biasiswa diperoleh agak terhad.

Justeru, pengumuman kenaikan kadar Elaun Sara Hidup (ESH) pelajar universiti tempatan dan luar negara yang diumumkan baru-baru ini pasti saja bagai bulan jatuh ke riba. Apatah lagi kadar ESH tidak berubah sejak 10 tahun lalu.

Bagi Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UITM), Rasydan Mohd Hassan, berkata pengumuman itu sekian lama dinantikan khususnya pelajar dari keluarga kurang berkemampu­an.

Katanya, kenaikan ESH pada waktu ini amat relevan lebih-lebih lagi dunia berdepan dengan keadaan inflasi sekali gus memberi kesan kepada kos kelangsung­an hidup yang semakin meningkat.

“Bagaimanap­un, inisiatif itu wajar untuk disemak semula bergantung kepada di mana pelajar itu meneruskan pengajian memandangk­an kos hidup ini boleh dianggap berbeza sama ada di bandar dan luar bandar.

“Contoh perbanding­an seperti pelajar di UITM Shah Alam dan juga UITM Tapah. Kos pengajian di bandar tentu saja lebih tinggi merangkumi pengangkut­an, rumah sewa, makanan dan sebagainya, belum termasuk pembelian buku.

“Jadi walaupun kadar ESH itu diselarask­an, pelajar di bandar khususnya masih bergelut untuk menangani kos sara hidup berbanding di luar bandar.

“Namun, bagi pelajar UITM mungkin lega sedikit memandangk­an kadar yuran pengajian agak rendah berbanding universiti lain yang mencecah hingga RM2,000 untuk satu semester,” katanya.

Kerja sambilan

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meminta Jabatan Perkhidmat­an Awam (JPA) menyelaras kadar ESH supaya bantuan diterima itu tidak jauh berbeza dengan penaja lain.

Kadar baharu ESH bagi pelajar dalam negara dinaikkan minimum RM650 sehingga maksimum RM950 sebulan bagi bidang pengajian bermula daripada peringkat diploma sehingga doktor falsafah dan profesiona­l.

Bagi pelajar luar negara pula, ESH dinaikkan kepada kadar minimum RM1,380 sebulan sehingga maksimum RM7,600 sebulan bermula daripada peringkat pengajian ijazah sarjana muda sehingga peringkat doktor falsafah dan peringkat profesiona­l.

Rasydan berkata, kenaikan itu juga sangat bermakna kepada pelajar kerana secara tidak langsung pelajar akan lebih fokus kepada pelajaran.

Namun bagi Eksekutif Umum Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Muhammad Noraiman Zulkifli, kenaikan kadar ESH memang sangat dialu-alukan.

Namun, ia tidak menjanjika­n kehidupan yang selesa kerana kenaikan kos sara hidup sangat tinggi, menjadikan perbelanja­an kini dua kali ganda berbanding sebelumnya.

“Kita ambil contoh sekiranya mahasiswa itu mengambil pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional

(PTPTN), misalnya mereka dapat RM3,000 bagi satu semester, tolak yuran pengajian dan penginapan yang kosnya hampir RM2,000.

“Baki hanya RM1,000 untuk digunakan membiayai kos makan, minyak dan pembelian barang keperluan belajar selama hampir empat bulan, ini tidak logik langsung.

“Jadi perlu ada kenaikan dari segi elaun sara diri pinjaman itu dalam masa terdekat, bagi memastikan mereka dapat menarik nafas lega dan tidak lagi perlu membuat kerja sambilan semasa belajar,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Noraiman turut menyambut baik pengumuman kenaikan 75 hingga 100 peratus kepada peminjam golongan M40 kategori M1.

“Namun kita gesa supaya pelaksanaa­nnya perlu lebih cekap dan berkesan di mana ia perlu dikredit lebih awal sebelum semester bermula.

“Ini kerana bagi mahasiswa yang tidak mendapat penempatan di dalam universiti, mereka boleh gunakan bagi membayar deposit rumah sewa yang ada kalanya hampir RM4,000 untuk sebuah rumah.

Inisiatif itu wajar untuk disemak semula bergantung kepada di mana pelajar itu meneruskan pengajian memandangk­an kos hidup ini boleh dianggap berbeza

Rasydan Mohd Hassan,

Namun kita gesa supaya pelaksanaa­nnya perlu lebih cekap dan berkesan di mana ia perlu dikredit lebih awal sebelum semester bermula

Buat kajian segera

“Begitu juga tajaan pihak lain misalnya Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan beberapa yayasan negeri yang lain. Mereka perlulah buat kajian segera jumlah pemberian pinjaman atau tajaan supaya seiring dengan ekonomi negara.

“Apabila kos sara hidup pelajar itu dapat ditangani, pelajar akan mampu memberi tumpuan penuh dalam aspek akademik, pembabitan dalam aktiviti kokurikulu­m dan pemantapan jati diri itu sendiri, tanpa perlu dibebani kos sara hidup,” katanya.

Sementara itu Naib Presiden, Majlis Perundinga­n Pelajar Kebangsaan (MPPK), Siti Faizah Abdul Rahman, berkata kenaikan itu pasti sahaja akan membantu pelajar yang datang daripada kelompok B40 terutamany­a.

Malah lebih banyak lagi bantuan akan disalurkan kepada mereka susulan persetujua­n kerajaan yang antara lain bersetuju untuk menyediaka­n kemudahan pinjaman komputer riba kepada peminjam PTPTN golongan B40.

“Pemberian inisiatif ini sudah pastinya akan meringanka­n lagi beban pelajar yang memerlukan bagi menjalani proses pembelajar­an yang lebih kondusif,” katanya.

Bagaimanap­un tegasnya, lebih banyak inisiatif-inisiatif seperti ini dapat diwujudkan membabitka­n pelbagai kelompok pelajar di negara ini.

 ?? ??
 ?? ??
 ?? ??
 ?? ?? Muhammad Noraiman Zulkifli, Eksekutif Umum KMUM
Muhammad Noraiman Zulkifli, Eksekutif Umum KMUM
 ?? ?? Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UITM
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UITM

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia